PETALING JAYA: Undang-undang baharu terhadap berita palsu mengejutkan golongan peguam, dengan Presiden Majlis Peguam Salim Bashir menganggap kuasa kerajaan kini dalam menangani berita palsu sebagai “merisaukan”.
Dalam temu bual dengan FMT, beliau turut berkata “definisi tidak tepat” berita palsu yang merangkumi apa-apa saja melibatkan Covid-19 dan perisytiharan darurat adalah
“membimbangkan”.
Mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang diwartakan hari ini, sesiapa yang menghasilkan, menyiar atau menyebarkan berita palsu akan berdepan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Jika gagal memohon maaf selepas diarahkan mahkamah juga, mereka boleh didenda tambahan RM50,000 manakala mereka yang membayar untuk “menghasilkan” berita seperti itu boleh didenda sehingga RM500,000. Ia turut merangkumi hukuman penjara.
Undang-undang itu berkuat kuasa tengah malam ini.
Bercakap kepada FMT, Salim berkata perkara utama dibimbanginya adalah beberapa peruntukan ordinan itu melanggar prinsip keadilan asasi dan pembicaraan adil.
Katanya, Seksyen 10 ordinan itu bermaksud Akta Keterangan tidak terpakai seterusnya membolehkan kenyataan dibuat oleh seorang tertuduh digunakan terhadapnya di mahkamah. Beliau berkata, ini bertentangan dengan Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
“Contohnya, jika anda membuat laporan polis di balai polis, itu boleh digunakan terhadap anda sebagai bahan bukti. Tiada ruang untuk membolehkannya dicabar,” katanya.
“Sementara itu, Seksyen 15 berhubung kebolehterimaan bahan bukti berbentuk dokumen bererti, jika seorang pegawai yang diberi kuasa datang ke rumah anda dan mengambil dokumen untuk digunakan sebagai bahan bukti, anda tidak boleh mempertikaikan cara ia diperoleh atau sama ada ia dilakukan secara menyalahi undang-undang,” katanya.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali turut menyifatkan undang-undang baharu itu merisaukan dan memberi kesan terhadap kebebasan bersuara yang dipertahankan dalam perlembagaan.
Susulan itu beliau mempertikaikan sama ada undang-undang itu satu cara untuk ‘mendiamkan rakyat.’
“Undang-undang baharu ini berat sebelah dan amat berbahaya serta berpotensi disalahgunakan,” kata pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Jenayah Majlis Peguam Peguam itu kepada FMT.
Rafique juga berkata, definisi ‘berita palsu’ di bawah undang-undang itu terlalu meluas.
Beliau menekankan undang-undang itu sebenarnya ‘tidak perlu’ kerana sudah ada beberapa yang lain yang dapat menangani berita palsu, seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.