Lawatan Muhyiddin ke Arab Saudi gagal
Lawatan rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negara Arab, terutama Arab Saudi disifatkan gagal oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
“Pemergian itu gagal”, kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Katanya lagi, jika hanya tambahan kuota haji sebagai hasilnya maka perkara itu telah berulang kali diumumkan sejak kerajaan BN dan Pakatan Harapan memerintah.
Bagi Johari, lawatan Muhyiddin akan kelihatan berjaya jika membawa masuk ke Malaysia pelaburan dari syarikat-syarikat Arab atau negara itu melipatgandakan pembelian produk-produk buatan Malaysia sebagai tanda sokongan usaha pemulihan ekonomi.
“Jika berkaitan kuota haji sahaja itu memang berlaku pada pemerintahan BN mahupun PH dahulu dan permintaan (kuota haji) ini bukanlah sesuatu yang luar biasa
“Umumkan jumlah (kuota haji) satu hal, tetapi yang lebih penting adalah menarik pelabur dan minta Arab Saudi beli lebih banyak barangan buatan Malaysia,” katanya lagi.
Dalam lawatan rasmi empat hari itu diumumkan ‘kemungkinan’ Arab Saudi meningkatkan import minyak sawit Malaysia dan penambahan 10,000 kuota haji.
Selain itu, media Malaysia hanya menayangkan lawatan Muhyiddin ke kota suci Mekah dan melaksanakan umrah.
Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu lagi, pertemuan dengan Raja Salman di Istana Al Yamamah secara maya dan gagal berjumpa bersemuka sebaliknya telah menimbulkan pendapat yang pelbagai, serta tidak kurang rakyat yang berpandangan sinis lebih baik lawatan itu diganti dengan sidang atas talian dari Malaysia sahaja.