Minggu ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
melangsungkan lawatan rasminya ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Beliau telah dijemput untuk bertemu dengan Raja Arab Saudi, Yang Teramat Mulia
Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Yang Mulia
Mohammed bin Salman bin Abdulaziz al-Saud, dan dijangkakan membincangkan
beberapa perkara berkaitan hubungan Saudi-Malaysia.
Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan yang erat, tetapi
pengendalian hubungan ini mestilah berteraskan prinsip neutraliti Malaysia.
Malangnya prinsip ini telah diabaikan oleh Menteri Luar Negeri Perikatan
Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, enam tahun yang lalu apabila
beliau secara langsung telah melibatkan Malaysia dalam operasi ketenteraan
ketika Perang Saudara Yaman.
Pada April 2015, pihak Kerajaan telah melancarkan Ops Yaman 1.
Operasi tersebut melibatkan dua buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja
Malaysia yang diaturgerakkan ke Arab Saudi untuk membantu usaha memulangkan
rakyat Malaysia di Yaman. Pada bulan Jun 2015 pula, misi kontinjen ini telah
berubah kepada membantu tentera gabungan yang diketuai Arab Saudi dalam
memerangi kumpulan Houthi. Fasa ini dikenali sebagai Ops Yaman 2, dan ketika
itu, kru C-130 TUDM diarahkan untuk menerbangkan alat ganti, peluru, dan bahan
letupan untuk angkatan Saudi dan negara-negara sepakatnya.
Dalam memo dalaman antara Bahagian Dasar dan Perancangan
Strategik Kementerian Pertahanan dan Markas Angkatan Tentera, kerajaan telah
dinasihatkan bahawa penglibatan ATM dalam perang di Yaman akan menjejaskan imej
Malaysia di persada antara bangsa sebagai negara neutral. Malah, ia bercanggah
juga dengan gerakan Global Movement of Moderates yang diangkat oleh mantan
Perdana Menteri ketika itu juga.
Selain itu, atur gerak unit tersebut turut melanggar prosedur
eksekutif. Keputusan untuk melaksanakan Ops Yaman 2 tidak dibincangkan di
peringkat Kabinet, dan peruntukan tambahan untuknya juga tidak dibahaskan di
Parlimen. Arahan pemula ataupun initiating directive tidak dikeluarkan daripada
Majlis Keselamatan Negara untuk membenarkan ketumbukan tersebut untuk terlibat
dalam operasi ketenteraan yang diketuai Arab Saudi. Tambahan pula, pada ketika
itu, Memorandum of Understanding on Defence antara Malaysia dan Arab Saudi yang
menggariskan had dan terma rujukan ketumbukan tersebut di Arab Saudi masih
belum ditandatangani. Jelas bahawa Ops Yaman 2 bukan sahaja salah dari segi
prinsip, malah dari segi tatacara pelaksanaan juga.
Angkatan Tentera Malaysia hanya diaturgerakkan ke luar negara
untuk operasi pengamanan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB). Sejarah ATM penuh dengan penglibatan misi pengamanan di Congo, Lebanon,
Bosnia-Herzegovina, Somalia, dan di sempadan Iraq-Kuwait untuk menguatkuasakan
gencatan senjata setelah tamatnya Perang Teluk Pertama. Imej ATM di persada
antarabangsa ini cukup membanggakan kita dan sewajarnya tidak dicemarkan.
Kepentingan rakyat Malaysia perlu diutamakan dalam pengendalian
dasar luar negara kita. Nyawa anggota tentera kita juga tidak boleh digadaikan
semata-mata kepentingan politik. Malaysia tidak sewajarnya terperangkap dalam
mana-mana operasi ketenteraan di luar negara yang tidak diberi mandat jelas
daripada PBB. Dalam usaha beliau melestarikan hubungan antara Malaysia dan Arab
Saudi, kami harap Malaysia tidak akan terlibat sekali lagi dalam perang di
Yaman.
Haji Mohamad bin Sabu
Mantan Menteri Pertahanan
Liew Chin Tong
Mantan Timbalan Menteri Pertahanan