Isu kalimah Allah retakkan kesepakatan dalam PN?

 



Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam mungkin akan meretak atau memecahkan kesepakatan dalam Perikatan Nasional (PN).



Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Aziz Bari, sikap 'tidak mahu komen' menteri-menteri kanan PN dalam isu berkenaan mungkin akibat sekutu mereka di Malaysia Timur yang mahukan penghakiman tersebut tidak dirayu dan dikekalkan.



Sedangkan, kata Dr Aziz, PN yang mengaku sebagai kerajaan 95% Melayu-Islam mungkin amat keberatan membenarkan hal itu.



"Bagi Sabah dan Sarawak (mereka) mahukan perkara ini dibiarkan begitu sahaja dan tidak dirayu. Ini menimbulkan kegusaran kepada PN



"Nampaknya isu ini boleh jadi satu perkara yang menimbulkan keretakkan. Jadi ini memperlihatkan tiada satu sikap yang jelas dalam kalangan PN. Patutnya walaupun dia datang melalui 'tebuk atap' tetapi perlu ada sikap yang jelas.



"Cuma mungkin rakan dalam PN itu adalah Pas, dan parti itu ada sikap yang mereka ambil sejak dalam PR dahulu



"(Seharusnya) pimpinan pusat harus mengambil berat. Setakat ini pimpinan kanan PN tidak bercakap, yang bercakap hanya menteri dan juga duta bertaraf menteri sahaja," katanya dalam siaran langsung Facebook bertajuk "Kalimah Allah & Hak Kebebasan Agama", malam tadi.



Bagi pakar Undang-undang Perlembagaan itu, tindakan yang diambil kerajaan PN sebelum ini dengan kesediaan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi dianggap tidak memadai, memandangkan mereka adalah Kerajaan Persekutuan yang mampu berbuat lebih banyak.



"Apa yang saya katakan PN semacam kebingungan bila berhadapan kes ini. Sepatutnya ada sesuatu cara untuk menangani isu. Bukan hanya membuat rayuan di mahkamah semata-mata. Sebagai kerajaan dan kalau mereka betul-betul ada majoriti di Parlimen sepatutnya mereka membuat sesuatu.



"Di situ mereka (kelihatan) tidak kompeten menjaga umat Islam," katanya lagi.



Bagaimanapun, Dr Aziz menasihatkan pihak-pihak sayap kanan yang baru-baru ini menuntut Perlembagaan dipinda dan sebagainya agar meneliti perkara tersebut dengan lebih saksama.



Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3 dan Perkara 11 telah dengan jelas menjamin kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi manakala agama bukan Islam tidak boleh disebarkan kepada umat Islam.



Dalam masa sama, penganut Islam perlu menghormati kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan.



Tentang penggunaan kalimah Allah yang mengelirukan penganut Islam, kata Dr Aziz, hal itu perlu dibuktikan secara lebih konkrit.



"Di mana logiknya penggunaan kalimah Allah ini sesuatu yang merbahaya atau mengelirukan umat Islam?



"Pengedaran bahan-bahan seperti kitab Injil dan upacara agama mereka terbatas atau di dalam ruang lingkup tertentu. Bahan bacaan perlu dicetak sebagai contoh 'hanya untuk penganut Kristian' atau tidak boleh diberi kepada orang Islam. Bagaimana boleh berlaku kekeliruan kepada umat Islam?



"Hak kebebasan beragama ini suatu yang dijamin atau tidak boleh dikacau dalam Perlembagaan kita, hata dalam suasana darurat atau dalam undang-undang seperti Keselamatan Dalam Negeri sebagai contoh," katanya.



Sehubungan itu, Dr Aziz menasihat pihak yang dalam 'mentaliti terkepung' agar memahami keadaan masyarakat majmuk dan realiti umat Islam yang merupakan golongan majoriti melebihi 60% di Malaysia.



Dalam keadaan itu dan agama lain tidak boleh disebarkan melalui media massa, katanya umat Islam tidak wajar terlalu takut dengan persekitarannya.



Untuk rekod, Mahkamah Tinggi pada 10 Mac lalu membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.



Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.



Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku yang diterbitkan.