Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 hari ini mendesak Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) untuk kekal dengan janji mereka melaksanakan Undi 18
selewat-lewatnya pada Julai 2021.
Sekretariat tersebut menganjurkan himpunan di jalan masuk ke bangunan Parlimen, petang tadi. Mereka menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen beliau terhadap pelaksanaan Undi 18 kerana perdana menteri itu telah menyokong penuh pindaan Perlembagaan pada 2019 lalu.
"Muhyiddin selaku Ahli Parlimen Pagoh turut mengundi sewaktu meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat, sebelum ini," kata sekretariat itu dalam satu kenyataan.
Menurut sekretariat itu lagi, penangguhan pelaksanaan Undi 18
selama lebih 15 bulan ke September 2022 adalah mengarut dan tidak mencerminkan
kesungguhan pihak berwajib untuk memberikan hak mengundi kepada anak muda yang
mencapai berumur 18 tahun.
“Rakyat Malaysia, khususnya anak muda membantah keputusan ini sekeras-kerasnya kerana hak setiap orang dewasa untuk mengundi dalam pilihan raya adalah hak asasi dalam mana-mana sistem demokrasi di dunia,” kata mereka lagi.
Mereka turut mempersoalkan kenapa SPR seolah-olah dihalang daripada melaksanakan Undi 18 sekali gus menghalang mereka selaku anak muda yang mahu menentukan masa depan negara.
Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 adalah jawatankuasa ad-hoc yang ditubuhkan oleh gabungan gerakan anak muda sebagai reaksi segera membantah keputusan SPR dan Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan Undi 18
Antara tokoh politik yang dilihat hadir dalam silent protest petang tadi adalah Pengarah Komunikasi Amanah, Ir Khalid Samad, Naib Presiden KEADILAN Tian Chua dan beberapa yang lain.
Peserta membawa sepanduk berbunyi 'Mana undi kami', 'Kerajaan PNipu' dan 'kembalikan hak mengundi anak muda'