Hijrah KEADILAN demi rampas kembali kerusi Parlimen Batu Pahat

 


ADUN Senggarang, Khairuddin A. Rahim menganggap keputusannya untuk menyertai KEADILAN dari Amanah sebagai satu 'hijrah' demi kemenangan yang lebih besar buat Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).



Beliau mengakui, akan ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakannya.



"Pada dasarnya, apa yang saya lakukan adalah hijrah. Ini bukan keputusan yang mudah, tetapi saya berharap orang ramai dapat menerimanya kerana saya melakukannya untuk rakyat dan negara," katanya.



Bagaimanapun, Khairuddin berkata beliau telah pun menjelaskan keputusannya untuk meninggalkan Amanah kepada timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub.



Malah, beliau menegaskan bahawa tindakannya itu tidak sama seperti Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong.



"Saya masih setia kepada Pakatan Harapan dan saya tidak menganggap tindakan saya sebagai satu pengkhianatan.



"Saya juga tidak mempunyai masalah dengan bekas rakan sekerja Amanah dan saya percaya bahawa kita masih boleh bekerjasama dalam kapasiti baru saya," katanya.



Salah satu faktor Khairuddin membuat keputusan untuk menyertai KEADILAN adalah menjadi calon Ahli Parlimen, memandangkan kerusi Senggarang yang disandangnya terletak di bawah kerusi Parlimen Batu Pahat.



Beliau melihatnya sebagai satu peluang untuk membantu KEADILAN merampas semula kerusi itu, setelah penyandangnya, Rashid Hasnon berpaling tadah apabila menjadi antara individu yang menjayakan Langkah Sheraton dan kini merupakan ahli Bersatu dan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).



"Saya merasakan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk saya menyertai KEADILAN dan pada masa yang sama bekerja keras untuk merampas semula Batu Pahat untuk PH sekiranya diadakan pilihan raya umum akan datang," katanya.



Parlimen Batu Pahat dijangka menjadi salah satu kerusi yang akan menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru antara Umno, Bersatu dan PH.