Petang semalam, menteri-menteri UMNO dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin susulan ketetapan muktamad Perhimpunan Agung UMNO atau PAU Ahad lalu memutuskan hubungan dengan Bersatu dan akan meninggalkan kerajaan menjelang 1 Ogos depan.
Tidak dipastikan apa butir sebenar perbincangan dalam pertemuan itu, tetapi ada maklumat mengatakan beberapa menteri menzahirkan perasaan serba salah mereka berkaitan ketetapan yang diputuskan PAU Ahad itu.
Terdapat juga di kalangan mereka yang dikatakan membangkitkan rasa kesal dan tidak faham mengapa Bersatu dijadikan sasaran kecaman dalam PAU kali ini, walhal kedua-dua parti saling bekerjasama dalam kerajaan.
Seorang menteri yang bercakap dengan seseorang yang rapat dengan Muhyiddin pula mengatakan, beliau benar-benar tersepit dengan ketetapan PAU yang memutuskan hubungan dengan Bersatu dan akan keluar daripada kerajaan.
Kata menteri berkenaan, mereka dinamakan sebagai menteri oleh UMNO untuk duduk dalam kerajaan PN, tetapi dalam PAU semalam mereka seolah-olah dijadikan sasaran kecaman dan dilihat pro Bersatu semata-mata kerana memegang jawatan menteri.
“Kami tidak mampu berbuat apa-apa selain menerima seadanya apa yang diputuskan itu,” tambah menteri berkenaan lagi.
Menteri tersebut juga menyatakan beliau lebih suka kiranya UMNO tidak membuat apa-apa ketetapan dalam hubungannya dengan Bersatu dan kerajaan PN kerana sekarang adalah masa yang sukar buat rakyat berikutan pandemik Covid19, selain tempoh matang Parlimen ialah tahun 2023.
“Kita tidak faham mengapa ketetapan tersebut diambil dan adakah jika PRU15 dipaksakan dalam waktu yang terdekat ini, UMNO benar-benar boleh menang?” soal menteri itu lagi.
Sebenarnya, dalam hal ini, ketetapan PAU Ahad lalu adalah keputusan muktamad parti, sesuai dengan kedudukan PAU sebagai badan pembuat keputusan tertinggi bagi UMNO.
Mahu tidak mahu, keputusan itu mesti diterima selagi seseorang itu masih mahu kekal berada dalam UMNO.
Dengan yang demikian, sementara ada menteri UMNO berada dalam kepimpinan tertinggi parti, manakala sebahagian lagi tidak berada dalam hireaki, kedua-duanya perlu akur dengan apa jua ketetapan parti.
Tidak harus wujud rasa bersalah, serba salah, keliru atau tidak faham dengan ketetapan PAU itu di kalangan mereka jika mereka seorang yang setia kepada parti.
Apatah lagi meluahkan perasaan kepada Muhyiddin yang bukan pemimpin UMNO, malah sedang mengetuai Bersatu yang ingin dikalahkan oleh UMNO dalam PRU15 akan datang, jelas bukan suatu tindakan yang betul.
Juga tidak patut ada mana-mana menteri UMNO meluahkan perasaan yang sama kepada sesiapa yang lain daripada Bersatu.
Ini kerana, melalui ketetapan PAU semalam, walaupun tempoh untuk meninggalkan kerajaan adalah 1 Ogos, tetapi Bersatu kini dikira sebagai musuh rasmi bagi UMNO.
Mungkin tidak salah bagi UMNO bersama dalam kerajaan yang diketuai Bersatu, namun memuahkan isi hati dan tidak puas hati berkaitan keputusan parti kepada parti lain yang sudah dimuktanadkan sebagai musuh adalah adab yang tidak boleh diterima.
Menteri-menteri UMNO harus menerima sepenuhnya ketetapan PAU itu dan tidak wajar sama sekali untuk mereka mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin berkaitan dengannya, meski beliau adalah Perdana Menteri sekali pun.
Kalau Muhyiddin mahu maklumat lebih detail berkaitan keputusan PAU, itu pun kalau beliau seorang yang malas membaca dan menonton pelbagai video di media sosial, beliau lebih wajar memanggil kepimpinan rasmi UMNO untuk bertemu dengannya.
Menteri-menteri UMNO bukan wakil rasmi parti yang boleh memberi penjelasan tentang hal-hal parti kepada Perdana Menteri.
Kecuali, pertemuan dengan Muhyiddin itu nampak perlu jika hanya untuk menunjukkan rasa tidak setuju terhadap Presiden UMNO dan membantah ketetapan PAU di depan Muhyiddin yang dirasakan sebagai pemberi nikmat rezeki kerana melantik mereka sebagai menteri.
Jika begitu, lebih bermoral mereka keluar UMNO dan masuk saja Bersatu. (Shahbudindotcom 30/03/2021)