Anwar seru KEADILAN rampas kerusi Gombak

 



Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru parti KEADILAN supaya merampas semula kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketika menyampaikan amanat sebagai Presiden KEADILAN, beliau menempelak pandangan segelintir pihak yang mengatakan kerusi Parlimen Gombak itu merupakan kubu Azmin Ali.

Sebaliknya, beliau menganggap Parlimen Gombak itu milik KEADILAN.

"Saya dengar kubu ini kubu Azmin, kubu Azmin...

"Tetapi saya percaya kubu ini kubu perjuangan KEADILAN, kubu Reformasi, ini harus dipertahankan," katanya dalam program "Bicara Amanat Presiden, KEADILAN kekal relevan" di Dewan Sri Siantan, DUN Sungai Tua, semalam.

Malah, Anwar menyifatkan KEADILAN Gombak dan Selangor sudah lama bersedia untuk merampas semula kerusi Parlimen kawasan itu.

"Kalau PRU bulan Mac atau April atau Jun kita sedia, lawan tetap lawan, Gombak tunggu kita semua.

"Saya yakin dan bernasib baik kerana ketua cabang dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari cukup wibawa untuk mempertahankan Gombak dan Selangor.

"Dengan keupayaan dan semangat, serta berpandukan ahli dan ranting yang banyak bagi memperkuatkan jentera parti, kita akan dapat melakukannya.

"Ini adalah tempat kita, dan inilah tapak kita berjuang," katanya.