Ahmad Maslan dedah punca mengapa UMNO hantar surat putus hubungan dengan Bersatu

 Ahmad Maslan dedah punca mengapa UMNO hantar surat putus hubungan dengan Bersatu


Satu Perjumpaan Khas antara UMNO, PPBM dan PAS yang diwakili lima kepimpinan tertinggi bagi setiap parti telah diadakan pada 15 Februari 2021.

Di dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri merangkap Presiden PPBM, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan PPBM sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU ke-15.

Bagi maksud tersebut, Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) telah mengadakan mesyuarat pada Jumaat, 19 Februari 2021 untuk membincangkan lanjut hasrat YAB Perdana Menteri tersebut.

Keputusan Mesyuarat MKT telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO mengutuskan surat kepada Presiden PPBM bagi menyatakan keputusan Mesyuarat MKT sebagaimana yang diminta, sepertimana berikut:

Tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15.

UMNO berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Sejak dari awal, UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat.

Justeru, keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam Kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sekian, terima kasih.

DATUK SERI HAJI AHMAD BIN MASLAN
SETIAUSAHA AGUNG UMNO