Ahli politik, NGO lancar kempen #tolakdarurat
Kempen rayuan rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong agar menamatkan segera pemerintahan darurat dilancar hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Deklarasi Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, Ir Khalid Samad melancarkan kempen berkenaan di Hotel Tamu, Kampung Bharu, Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut Khalid, jawatankuasa tersebut tidak bersifat politik dan lebih kepada penglibatan rakyat prihatin menolak darurat, biar pun dipengerusikan oleh ahli politik.
“Saya perlu jelaskan jawatankuasa ini bukan bersifat politik, bukan atas nama Pakatan Harapan atau mana-mana parti politik, tetapi atas inisiatif individu yang menganggap kempen untuk menamatkan darurat ini perlu dilakukan dengan lebih berkesan dan sempurna dengan melibatkan rakyat.
“Walaupun ada ahli politik dalam jawatan kuasanya tetapi kita bertindak sebagai individu dan ada ahli-ahli NGO serta masyarakat awam (dalam jawatankuasa),” katanya.
Menurut Khalid lagi, kempen itu dilancar memandangkan proklamasi darurat didakwa tidak sepenuhnya digunakan melawan pandemik Covid 19 tetapi juga untuk tujuan lain.
“Kita berpandangan perlu untuk digiat dan dirancakkan lagi kempen merayu Agong, supaya darurat ini ditamatkan kerana implikasinya cukup serius. Baru-baru ini kita lihat digazetkan undang-undang Anti Berita Palsu tanpa perbahasan di Parlimen.
“Orang kata apa masalahnya ada darurat, (kehidupan) macam biasa sahaja. Tetapi hakikatnya, dengan adanya darurat undang-undang boleh diluluskan tanpa perbahasan di Parlimen dan undang-undang Anti Berita Palsu ini mempunyai implikasi cukup serius.
“Oleh itu, jawatankuasa ini ditubuh untuk merayu Agong supaya perisytiharan darurat ditamatkan. Satu petisyen telah dilakukan dan usaha mengumpul tandatangan telah dibuat. Setakat ini kita telah memperolehi beberapa ratus tandatangan dari individu dan 100 lebih NGO,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Shah Alam itu, bagi memudahkan rakyat untuk menurunkan tandatangan maka sebuah laman web telah disiapkan.
Katanya, rakyat prihatin boleh melayari laman web berkenaan bagi menandatangani kempen atau mengetahui status terkini kempen rayuan tolak tersebut.
“Hari ini kita lancarkan laman web. Adalah hasrat jawatankuasa ini mengumpulkan sebanyak mana tandatangan yang boleh dan menyerahkannya kepada Agong sebelum Ramadan ini.
“Sebagai payung negara Yang di-Pertuan Agong perlu dimaklumkan akan bantahan rakyat jelata serta tindakan PM dalam soal ini
“Saya bersama seluruh AJK penamatan proklamasi darurat merayu setiap rakyat Malaysia untuk menandatangani petisyen ini melalui web kami, #tamatdarurat.com
“Tidak perlu khuatir terhadap keselamatan diri dan tindak balas dari mana-mana pihak kerana kita hanya menyuarakan pandangan mengikut hak dan lunas undang-undang,” katanya lagi.
Pada majlis itu juga Khalid melakukan gimik menurunkan tandatangan di laman web #tamatdarurat.com.
Selain menurunkan tandatangan, beliau juga menunjukkan antara muka laman web berkenaan dan ruangan untuk pungutan derma bagi kempen itu.
Katanya, jawatankuasa memerlukan lebih RM100,000 untuk menganjurkan kempen, mencetak risalah dan sebagainya dalam beberapa bulan akan datang.