Zahid sindir menteri UMNO?
Tindakan Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kerana tidak mempunyai kuasa untuk membantu rakyat adalah “teguran” terhadap menteri Umno yang gagal berfungsi seperti diharapkan, kata sumber yang dekat dengan presiden parti itu.
Menurut sumber, menteri Umno dilihat lebih mengutamakan agenda peribadi termasuk isu kerjasama dengan Bersatu, berbanding menyuarakan masalah rakyat.
“Presiden sindir menteri Umno kerana mereka dilihat gagal menyuarakan isu rakyat kepada kerajaan.
“Menteri Umno dilihat lebih fokus kepada kepentingan peribadi dan berusaha untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu.
“Itu lebih kepada teguran presiden supaya menteri tidak lupa agenda perjuangan rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada 2 Feb lalu, presiden Umno itu memohon maaf kepada orang ramai jika isu-isu rakyat dibangkitkannya tidak dilayan pihak berwajib.
Katanya, walaupun memegang jawatan tinggi dalam Umno dan BN, dia tidak memegang tampuk pentadbiran negara.
“Apa yang boleh saya lakukan dalam kapasiti yang terhad ini adalah akan bersuara dan terus bersuara demi kepentingan kita semua.
“Jika perkara yang dibangkitkan itu tidak dilayan pihak berwajib, saya cuma mampu memohon maaf kepada saudara saudari,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Kenyataan itu hadir ketika dilihat terdapat perpecahan dalam kalangan PN, dengan beberapa ahli parlimen Umno sudah menarik balik sokongan terhadap kerajaan.
Umno sendiri dilihat terbahagi antara kumpulan yang ingin mempertahankan kerjasama dengan Bersatu dan mereka yang indin memutuskan hubungan dengan parti diterajui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu.
Zahid sebelum ini turut berdepan gesaan beberapa pemimpin akar umbi partinya yang mencadangkan agar dia berehat.