Oleh : Mohamed Hadi AH
Ada banyak cerita menarik bertaraf first hand information yang
TT kongsikan dalam memoir beliau. Paling 'meletihkan' selaku Peguam Negara (AG)
ialah menyelesaikan masalah 1MDB, SRC, Equanimity dan rangkaiannya kerana
isu-isu yang berlaku benar-benar baharu dan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Atas rangkaian isu 1MDB ini sahaja, aku sifatkan TT telah
berjaya melakukan keajaiban meskipun hanya sempat menjadi AG selama 21 bulan.
Pencapaian beliau sebelum itu sebagai peguam litigasi korporat
juga mengagumkan. Pertikaian bon, penstrukturan semula hutang dan tadbir urus
korporat merupakan sebahagian daripada kepakaran TT. Bank Bumi, Danaharta, CIMB
pun cari TT. Sesuatu yang patut difikirkan oleh peguam bumiputera yang selesa
dalam zon sendiri (termasuklah aku yang awal-awal cabut lari).
Dengan terlalu banyak masalah yang perlu diselesaikan sebagai
AG, banyak perkara yang terlepas pandang dan tentunya ada kesilapan telah
berlaku yang turut diakui oleh TT sendiri.
Tetapi cerita yang paling menyayat hati tentulah cerita
runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di tangan Tun Mahathir (TM) sendiri. TT
seqodar mengesahkan sahaja apa yang berlaku menurut sudut pandangnya selaku
Peguam Negara (AG). Kita sudah baca sebahagian pendedahannya melalui
media-media dalam talian sehari dua ini.
Cerita TM hilang majoriti sebenarnya tak pernah timbul. Itu
hanya cerita rekaan yang datang kemudian, setidak-tidaknya melalui apa yang TM
sebutkan sendiri kepada TT.
Selepas memecat dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri (PM), TM
turut memecat seluruh kabinet PH dan Agong tiada pilihan melainkan
memperkenankannya. TT juga tiada pilihan selain membenarkan Ketua Setiausaha
Negara (KSN) mengeluarkan kenyataan pada Isnin (24/2) di sebelah malam bahawa
seluruh kabinet tersingkir dan tinggal TM seorang sahaja sebagai PM interim.
Kerajaan ketiadaan kabinet selama 3 minggu. Petaka Covid19
bermula dari sini dan berlanjutan sehingga ke hari ini.
Pada petang Selasa (25/2), TM memaklumkan kepada TT bahawa dia
akan kekal sebagai PM kerana semua 222 ahli parlimen menyokong beliau sebagai
PM. Ketika inilah TM memberitahu TT hasratnya untuk membentuk unity government
(UG) tanpa pembangkang dan yang paling penting, tanpa Anwar dan tanpa Lim Guan
Eng. TT begitu terkejut dengan keputusan TM.
TT bingung kerana tidak semena-mena TM ingin melayan permintaan
Umno dan PAS untuk menyingkirkan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan
menamatkan perkhidmatan TT sebagai AG, sedangkan TM sendiri tak pernah komplen
apa-apa mengenai prestasi TT sebagai AG.
Menurut TT, serangan bertubi-tubi TM kepada Anwar pasca Langkah
Sheraton hanya mengesahkan lagi bahawa TM sememangnya tidak pernah mahu Anwar
menggantikannya sebagai PM. Dengan pembentukan UG, PH sudah tiada dan semua
manifesto dan janji PH pun boleh masuk tong sampah.
Malangnya, TM terciduk apabila semua yang berjanji untuk
menyokongnya bertempiaran lari pada keesokannya hari Rabu (26/2). TM hanya
dapat 62 undi, Anwar 92, yang selebihnya berkacawoli. Muhyiddin tidak dapat
walau satu undi pun ketika itu.
Pada asalnya, memang TT yang menasihatkan Agong supaya memanggil
sidang Dewan Rakyat untuk menentukan sokongan terhadap PM. Malangnya, nasihat
itu hanya dapat disebut sekali lalu sahaja kepada Agong pada hari Rabu (26/2)
dan pada hari itu juga dijadualkan Agong memanggil kesemua 222 ahli parlimen
satu persatu bagi menentukan sokongan terhadap PM. Di situlah TM cuma mendapat
62 undi.
Cemas dengan rancangan yang gagal kerana hanya mendapat 62 undi,
TM memanggil TT dengan segera pada keesokan harinya Khamis 27/2 dan memaklumkan
bahawa Agong menitahkan supaya sidang Dewan Rakyat dipanggil untuk menentukan
siapa yang mempunyai majoriti di Dewan Rakyat. Malangnya, seseorang di Pejabat
Perdana Menteri telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat dan surat
itu tidak sempat disemak oleh TT. Isi kandungan ini kemudiannya menjadi punca
mengapa Tan Sri Ariff menolak sidang Dewan Rakyat atas sebab teknikal. TT
mengakui berlaku miscommunication dan salah faham di peringkat ini.
Dalam masa yang sama, TT juga tidak dapat menasihatkan Agong dan
permohonan TT untuk mengadap Agong tidak mendapat maklum balas. Dalam tempoh
genting itu, TT juga telah dipinggirkan oleh pihak Istana Negara.
Peminggiran ini berkait rapat dengan idea Agong memanggil ketua
parti satu persatu untuk bertanyakan sokongan terhadap PM. Kaedah ini merupakan
cadangan yang datang dari pihak lain, bukannya TT selaku AG. Kaedah ini dibuat
tanpa merujuk kepada TT selaku AG. Dengan kaedah ini juga Muhyiddin berjaya sailang
TM seterusnya menjadi PM ke-8.
Menurut TT, idea TM untuk membentuk UG dan mahu melantik sesiapa
sahaja sebagai menteri kabinet tanpa mengikut hierarki parti telah menyebabkan
ahli parlimen lari bertempiaran meninggalkannya. Ini mirip seperti apa yang berlaku
dalam kabinet Muhyiddin sekarang. Mamat heavy mental entah dari mana tiba-tiba
jadi Menteri Kanan. Orang yang tiada jawatan dalam Umno menjadi menteri,
sedangkan yang ada jawatan dipinggirkan. Patutlah orang lari. Formula sifir
yang salah menyebabkan TM terciduk dengan helahnya sendiri.
Demikianlah Allah runtuhkan kerajaan PH disebabkan pengkhianatan
TM sendiri dan by extension, malapetaka Covid19 yang menimpa negara ini juga
berpunca dari tangan TM sendiri. Akibat mengkhianati manifesto dan mengkhianati
PH, malah lebih teruk lagi, mengkhianati amanah pengundi yang telah bersusah
payah berkempen, menyokong dan mengundi PH. Semua ini tidak ada dalam
pertimbangan TM ketika meletak jawatan. TT tentu lebih kecewa kerana sewaktu TM
mengumumkan peletakan jawatannya, TT sedang berada di mahkamah bagi mengetuai
pendakwa raya dalam perbicaraan kes jenayah SRC ke atas Dato' Sri Najib Razak.
TT mengenang semula insiden patutlah Nurul Izzah bermati-matian
menolak kerjasama dengan TM pada 2016, kerana perkara-perkara sebeginilah. TT
terkesan kerana dialah antara pihak yang memujuk Izzah ketika itu.
Bagi aku, TM telah mempermainkan dan menyusahkan
institusi-institusi penting negara, termasuklah Agong dengan membuat keputusan
sesuka hati, degil dan bebal kerana mahu semua orang mengikut telunjuknya dan
begitu yakin dia akan berjaya mendapatkan apa yang dimahukan.
Tidak hairanlah Agong pun naik menyampah dan enggan melayan
kerenah TM ini, justeru mengapa istana menutup pintu meskipun TM kembali
mendapat sokongan 114 ahli parlimen pada malam 28/2.
Tindakan Parti Keadilan Rakyat yang enggan melayan dongeng jadi
PM selama 6 bulan sahaja itu aku fikirkan tepat sekali. Kepercayaan tidak akan
ada tanpa kejujuran dan keikhlasan.
Runtuhnya kerajaan PH memang realiti yang pahit buat para
pemimpin dan penyokong PH tapi secara tidak langsung melondehkan perangai sebenar
TM. Bagi sesetengah orang hilang kerajaan pun tak mengapalah asalkan tidak
berketuakan TM yang tak ketahuan pendirian dan mengabaikan prinsip musyawarah.
Esok lusa entah dia buat palatao lagi lepas tu menyusahkan semua orang lagi.
Bagi TT sendiri, dua tahun sebagai AG sudah mencukupi. Dan kita
pun dapatlah membaca memoirnya hari ini.
- Mohamed Hadi AH