Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) digesa segera
mengenakan sekatan import khinzir dan produk dari khinzir dari Sabah ke
Semenanjung.
Menurut Jurucakap Parlimen Parti KEADILAN bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Sim Tze Tzin, sekatan itu penting dikuatkuasakan kerana jangkitan African Swine Fever (ASF) telah dikesan di Sabah.
"Selepas 4 hari wabak ASF dikesan di Sabah, saya amat hairan mengapa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan masih belum bertindak cepat menghalang Pengimportan ke Semenanjung.
"Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas beberapa hari lalu telah melarang pengimportan khinzir dan produk khinzir dari Sabah ke Sarawak ekoran wabak berkenaan (tetapi tidak di Semenanjung).
"Selepas satu tahun menangani pandemik Covid-19, kita sepatutnya sudah tahu mengapa kita perlu isolate kawasan wabak. Wabak ASF juga sejenis pandemik yang memerlukan tindakan cekap dan pantas untuk menghalang sebarang penularan.
"Tindakan larangan sangat diperlukan untuk mengelakkan penularan ASF ke Semenanjung. Larangan ini akan mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual daging yang jatuh harga (kerana pandemik) ke Semenanjung, Sama ada daging itu tercemar dengan ASF atau tidak," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru itu lagi, industri khinzir di Malaysia amat besar dan bernilai lebih kurang RM5 bilion serta memenuhi 90% Self Sustainable Level atau memenuhi keperluan pasaran domestik Malaysia.
Katanya, sekiranya wabak ASF menyerang maka ia akan menjejaskan sektor pertanian serta penternak dan ribuan pekerja yang terlibat dalam rantaian bekalan.
"Jika penularan wabak ASF ke Semenanjung, ia mungkin menyebabkan industri lumpuh seperti berlaku pada tahun 1998 ketika virus Nipah merebak.
"Ribuan penternak dan pekerja akan mengalami kerugian dan kehilangan pekerjaan jika wabak ASF ini melanda Semenanjung.
"Maka, saya mohon perhatian yang serius daripada Menteri MAFI dan tindakan segera dilaksanakan," katanya lagi.