Panas! Hussamuddin dedah ada pegawai menteri berotak bingai, ugut media
Ketua Kumpulan Karangkraf Hussamuddin Yaacob meluahkan rasa bengang terhadap pegawai sebuah kementerian yang didakwanya melakukan ugutan bagi menghalang kebebasan media.
Katanya, pegawai berkenaan mengugut untuk menamatkan kontrak pengiklanan jika media memberikan ruang kepada individu tertentu dalam laporan mereka.
“Rupanya di tahun 2021 pun masih ada pegawai menteri/kementerian yang berotak bingai, siap boleh ugut media untuk batalkan kontrak iklan dari kementerian tempat dia bertugas jika media beri ruangan kepada si polan dan si polan. Siap ugut nak boikot lagi. Ingat boleh tongkat langit ke?” katanya menerusi Twitter.
Karangkraf merupakan penerbit bagi akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian.
Ketika dihubungi Hussammuddin enggan menjelaskan secara terperinci mengenai ugutan tersebut.
Dalam tweet berasingan, dia berkata kerajaan BN dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak pernah membuat ugutan sedemikian.
“Kami buat akhbar bebas (Watan/ Eksklusif/ Sinar Harian) sejak tahun 80-an lagi. BN/PH pun tak berapa suka dengan pendirian kami, tapi mereka tak pernah ugut malah siap engaged kami. Hubungan kekal mesra, walaupun “benci tapi rindu”. Geng baru ni lain macam pula. TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kena tengok-tengok juga,” tambahnya.
Bercakap dengan Malaysiakini, Hussammuddin berkata laporan berita tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menamatkan kontrak sesuatu iklan.
Ini kerana katanya, iklan dan berita adalah dua perkara berbeza.
“Jika iklan yang disiarkan tidak ikut spesifikasi perjanjian, bolehlah pertikaikan.
“Media harus bebas menyiarkan berita selagi tidak menggangu ketenteraman awam dan tidak menghina raja dan agama atau boleh menyemarakkan api perkauman. Juga tidak fitnah,” katanya.