Salahkan KPM, DidikTV, bukan guru, kata aktivis selepas rancangan TV dikecam

 

Jangan mengejek guru, tetapi persoal pihakbertanggungjawab, kata Teo Nie Ching.

PETALING JAYA: Aktivis memberitahu Kementerian Pendidikan (KPM) dan penerbit DidikTV supaya mengambil tanggungjawab ke atas rancangan TV Pendidikan yang dikecam secara meluas berikutan murid Tahun 2 dua diajar mengenai sistem reproduktif.

Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata, guru DidikTV hanya menjalankan tugas mereka dan tidak sepatutnya dipersalahkan.

Katanya, kementerian itu perlu menggunakan kebijaksanaan dalam memilih guru dan memastikan kandungan rancangan terbaik.

Pengguna media sosial mengecam klip video pendek seorang guru yang menerangkan topik sistem reproduktif dengan menggunakan bahasa Inggeris yang lemah di saluran TV yang baru dilancarkan itu.

Teo berkata, beliau terkejut mendengar guru yang bersiaran secara langsung itu diminta menulis skrip mereka sendiri sedangkan staf teknikal yang relevan boleh dimanfaatkan oleh kementerian terbabit.

“Ini merupakan tempoh mencabar dan murid-murid kita berhak mendapatkan yang terbaik,” katanya.

“Ini bukan masanya untuk kita mengejek guru, tetapi untuk mempersoalkan mereka yang bertanggungjawab, iaitu menteri pendidikan dan pihak lain di kementerian itu.”

Teo juga bertanya mengapa program pendidikan tidak disiarkan di saluran penyiar awam RTM.

Pengerusi Gerakan Akademik Malaysia, Zaharom Nain berkata, semua pihak yang terlibat dalam penerbitan rancangan DidikTV perlu dipersalahkan atas kesilapan itu.

Beliau berkata, skrip diguna pakai lemah, selain mempersoalkan sisipan pendapat dan ideologi yang “tidak begitu halus” yang tidak ada tempat dalam program sains untuk murid-murid Tahun 2.

“Pengarah pelakon perlu diganti kerana tidak menjalankan kerja,” katanya.

Zaharom berkata, guru terbabit seharusnya menolak tawaran untuk muncul di kaca TV kerana beliau jelas penguasaan bahasa Inggerisnya lemah.

“Jika dikatakan beliau mengikut arahan, maka ‘kebodohan’ mentaliti feudalistik ‘saya yang menurut perintah’ kitalah yang patut dipersalahkan,” katanya.

Zaharom juga berkata, isu itu akhirnya menunjukkan dari “masalah bergenerasi ” yang melanda sistem pendidikan kita.

Beliau antara lain menyenaraikan masalah penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, latihan yang lemah dan gaji guru yang rendah.

“Ini adalah sistem yang tidak membayar gaji selayaknya kepada guru,” katanya.

“Ia adalah sistem yang tidak mendorong meritokrasi, tetapi kulitokrasi.

“Ini adalah sistem yang menghasilkan idea yang tidak begitu bijak untuk memulakan saluran TV baharu untuk pendidikan, malah mengabaikan pelbagai sumber perisian pendidikan yang dibuat secara profesional, yang boleh diperolehi secara percuma dan dalam talian.

“Ia seperti mencipta semula roda kayu ketika kita sudah mempunyai rim tayar sport dan tayar simpanan.”

Tunku Munawirah Putra daripada Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan mempersoalkan samada pelajaran itu telah melepasi penelitian profesional sebelum disiarkan di TV.

“Adakah ini merupakan sabotaj terhadap niat KPM untuk meningkatkan piawaian bahasa Inggeris dan program dwibahasa?

“Pada akhirnya, yang rugi adalah anak-anak kita. Guru, yang mungkin memberikan yang terbaik, tetapi tidak menyedari mereka boleh memperbaiki diri dengan bimbingan dan latihan berkesan bagi mencapai potensi terbaik juga rugi.”