Rina Harun patut terajui ‘frontliner’, bukan jadi ‘front cover’
Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Masyarakat (KPWKM) Rina Harun sepatutnya menggerakkan kementeriannya menjadi frontliner pada saat rakyat, terutama kaum wanita tertekan menghadapi situasi pandemik Covid 19 dan kejatuhan ekonomi.
Sebaliknya, menurut Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Fadhlina Siddiq, menteri itu lebih berminat menjalani sesi fotografi di pejabat kementeriannya dan menjadikan beliau bahan berita front cover media massa yang tidak menyumbang apa-apa penyelesaian kepada permasalahan kaum wanita.
“Saya berpandangan gambar sensasi tersebut keterlaluan di saat kita berhadapan kes jenayah seksual terhadap wanita dan kes penderaan kanak-kanak yang meningkat dalam tempoh pandemik.
“Sebagai Kementerian utama yang menangani isu-isu kebajikan rakyat dalam tempoh pandemik, imej KPWKM sepatutnya dilihat sebagai kementerian barisan hadapan (frontliner) dan bukannya menjadi “front cover” yang memaparkan foto-foto sensasi Menteri KPWKM,” katanya.
Bagi Fadhlina, tidak salah sekiranya Rina mahu mempromosikan gaya hidup sihat kerana berjaya merampingkan tubuh badannya dalam usaha melestarikan tauladan kehidupan yang sihat dan sejahtera, terutamanya sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Namun hal itu, menurutnya tidak perlu dipromosikan secara berlebihan sehingga menghabiskan waktu menjalankan tugas harian di kementerian.
Sebelum ini, kata Fadhlina, Rina juga telah gagal dalam membentangkan draf Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual di Parlimen yang memberi perlindungan lebih tegas kepada golongan wanita.
“Saya ingin mengingatkan YB Menteri bahawa kegagalan dan kelambatan pembentangan Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual yang sepatutnya berlaku di sesi sidang Parlimen yang lepas telah mengakibatkan rakyat khususnya warga wanita masih terdedah kepada ancaman gangguan seksual tanpa perlindungan di sisi undang-undang,” katanya.
Akibat kegagalan kementerian Rina itu, kata Fadhlina lagi, KEADILAN menghulurkan pertolongan kepada rkayat Malaysia dan menawarkan khidmat nasihat guaman kepada seluruh rakyat khususnya kaum wanita yang menjadi pemandiri gangguan seksual.
“Kami juga komited untuk melaksanakan program-program advoaksi dan pendidikan berkaitan gangguan seksual di seluruh negara khususnya agenda “Komuniti Waspada” dalam usaha memberdaya komuniti dan mempertingkatkan kesedaran awam,” katanya lagi.
Baru-baru ini negara dikejutkan dengan kejadian gangguan seksual dilakukan oleh anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di ibu negara.
Terdapat dua kes tular di media sosial. Pakatan Harapan menyalahkan KPWKM kerana kelewatan membentangkan Akta Gangguan Seksual kerana Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus mencegah perbuatan berkenaan.