POSTED BY AMIR WRLR
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan pelbagai
perkara yang gagal ditangani kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga ke hari
ini.
Beliau berkata, segala-galanya bermula dengan masalah keabsahan kerajaan dan mendakwa kuasa darurat disalahgunakan.
"Seramai 115 ahli Parlimen menolak darurat, ada yang minta kaji semula, ada yang minta mengadakan sidang Parlimen segera. Kalau 115 dalam 220 ahli Parlimen, mereka sudah kehilangan majoriti dan bukan lagi kerajaan yang sah," katanya ketika mengulas pada sesi siaran langsung mengenai ‘The Renaissance Man: Prof Diraja Ungku Aziz’.
Pada masa sama, Anwar menganggap kerajaan sepatutnya melaksanakan inisiatif bantuan rakyat dengan agresif, bukan membelanjakan untuk kesenangan diri.
"Bila ada krisis Covid-19 yang menyebabkan kemelesetan ekonomi, perlu memperkenalkan banyak program untuk tangani isu rakyat.
"Tak boleh bercakap pasal tender baru, duit komisyen, lantik menteri yang ramai dan beri lebih banyak elaun. Ini tidak boleh diterima. Tidak ada keperimanusiaan dan keprihatinan terhadap rakyat. Ini membimbangkan," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan, pembangkang menentang Belanjawan 2021 adalah disebabkan kegagalan kerajaan untuk membuktikan bahawa segala peruntukan itu adalah untuk Covid-19.
"Banyak perkara boleh dipersoalkan. Polisi pendidikan, kesihatan. Malah, PKP berubah setiap hari. Saya ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Port Dickson, jumpa polis di sekatan jalan raya dan mereka beritahu sudah tak tahu rule apa nak pakai, sebab hari-hari tukar rule.
"Tidak ada penjelasan dan ketelusan. Seperti isu vaksin, berapa banyak kos untuk membelinya, beli dari syarikat mana, berapa kosnya jika dibandingkan dengan pembelian yang dibuat oleh negara lain. Semua ini tiada jawapan. Kita diminta untuk tidak mempersoal sebaliknya ambil vaksin atau mati," katanya.
Anwar juga mengkritik SOP PKP yang seolah-olah sangat longgar sehingga boleh pergi ke mana-mana tetapi Parlimen masih tidak dibenarkan beroperasi.
"Kita boleh pergi restoran, boleh jumpa orang, macam-macamlah tapi tidak boleh adakan sidang Parlimen, adakah ini masuk akal? Boleh kata, rakyat dibenarkan buat semua benda tetapi bukan sidang Parlimen kerana sedang darurat," katanya.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN sempat meluahkan rasa kurang puas hati terhadap tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan pengundi berusia 18 tahun, sedangkan ia sudah dipersetujui secara sebulat suara untuk menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.
"Membenarkan pengundi 18 tahun ini sudah dipersetujui oleh semua parti tidak kira kerajaan dan pembangkang.
"Ada yang persoal 18 tahun tak cukup matang nak faham politik. Padahal, yang umur 60 ke 70 tahun pun tak adalah faham sangat pasal politik. Lambang mana satu pun tak tahu.
"Jadi kenapa harus kita menafikan peluang orang muda untuk mengundi. Beri mereka peluang untuk sertai perdebatan politik dan beri mereka ruang untuk memahaminya," katanya lagi.