Putrajaya-Rusia runding hasilkan vaksin Sputnik V di Malaysia

 

Sputnik V adalah vaksin jenis vektor virus yang dihasilkan di Rusia. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Putrajaya sedang berunding dengan kerajaan Rusia mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penghasilan vaksin Sputnik V di Malaysia, sebagai usaha menambah jumlah dos vaksin Covid-19 dan mempercepatkan penerimaannya.

Perkara itu dinyatakan dalam buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan keluaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Sputnik V adalah vaksin jenis vektor virus yang dihasilkan di Rusia yang diperlukan dalam dua dos. Ketika ini, kadar keberkesanannya adalah 91.6%.

Vaksin jenis ini sudah digunakan di beberapa negara seperti Rusia, Argentina, Brazil, Korea Selatan dan Belarus.

Menurut buku panduan itu, Putrajaya juga sudah menandatangani dokumen lampiran terma bersama Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd dan Solution Biologics Sdn Bhd untuk pengilangan vaksin, proses terakhir pengisian vaksin ke dalam bebuli sebelum pengedaran.

Sementara itu, vaksin Sinovac dan CanSinoBio pula akan dibeli secara pukal dan proses pengilangan akan dijalankan di Malaysia untuk mempercepatkan penerimaan vaksin.

Putrajaya juga sudah menandatangani perjanjian pelabur dua hala dengan Gabungan Inovasi Kesediaan Epidemik (CEPI) bagi membolehkan Malaysia mendapat akses kepada R&D vaksin, pemindahan teknologi dan kepakaran baru untuk penyelidik tempatan.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah membiayai R&D vaksin tempatan bagi penyakit Covid-19, menerusi MOSTI Combating Covid-19 Fund (MCCOF) kepada dua kumpulan penyelidik iaitu dari Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia,” menurut buku panduan itu.