Persoalan yang mula menjadi bualan sekarang ialah mampukah Muhyiddin Yassin dan PN menang PRU15 akan datang, lebih-lebih lagi setelah masuknya Gerakan ke dalam gabungan itu?
Meskipun ada beberapa penganalisis mengatakan PN berpeluang cerah, malah disebut mampu meraih kemenangan dua pertiga dalam PRU15 nanti, secara kasarnya semua itu terlalu sukar, bahkan hampir mustahil dapat dicapai.
PN yang dianggotai Bersatu, Pas, Star, Sapp dan terbaru Gerakan adalah sebuah gabungan setengah masak serta sudah tidak diyakini lagi oleh rakyat dalam mengurus kerajaan.
Mereka adalah kerajaan yang gagal dengan sejumlah kegagalan yang tak terhitung lagi, bahkan dianggap kerajaan paling teruk sekali dengan tahap kebencian makin meningkat hari demi hari.
Malah, kebencian rakyat kepada Muhyiddin saja sekarang ini lebih parah berbanding penolakan terhadap Najib Razak yang membawa kecundangnya BN pada PRU 2018 lalu.
Kalaulah PN begitu yakin dengan kemenangan, di ketika UMNO/BN semakin menarik sokongan dan enggan bekerjasama dengannya lagi, pastilah Muhyiddin akan memilih untuk membubarkan Parlimen.
Tetapi, kenapa mencadangkan darurat kepada Agong menjadi pilihan Muhyiddin?
Alasan Covid19 sebagai halangan PRU diadakan lebih awal tidak boleh diterima sama sekali kerana pelbagai peraturan atau SOP sudah tentu boleh diperkenalkan oleh SPR jika benar kemenangan lebih memihak kepada PN.
Dengan memilih menasihatkan Agong untuk melaksanakan darurat, ia adalah bukti nyata PN tidak boleh menang PRU, walaupun kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sudah pun tiada majoriti lagi.
Darurat ini walaupun berjaya mengelakkan Muhyiddin daripada dijatuhkan, namun ia jelas menyebabkan tahap kebecian makin meningkat terhadapnya.
Luahan tidak puas hati, kebencian dan caci maki sehingga ke laman media sosial Istana Negara dan Presiden Indonesia adalah petanda sahih tahap penolakan yang makin membesar itu.
Selain kebencian dan penolakan terhadap kerajaan ini berpunca daripada sosok Muhyiddin sendiri yang disifatkan sebagai Perdana Menteri paling lemah, kegagalan mengurus Covid19 sehingga peraturan sering berubah-ubah dan adanya dwi standard peraturan antara orang biasa dengan menteri-menteri turut membuatkan rakyat jadi tambah meluat lagi.
Keghairahan menjual jenama kerajaan Melayu/Islam ketika peringkat awal pengkhianatan sehingga terbentuknya kerajaan PN ini pula seperti sudah jadi senjata makan tuan sekarang ini.
Terutama dengan adanya Pas yang menjadi pengampu nombor satu Muhyiddin dalam kerajaan PN ini, perjuangan Melayu/Islam yang digembar-gemburkan sebelum ini sudah dapat dilihat dengan nyata oleh rakyat sendiri hanyalah sebagai mainan sebelum beroleh kuasa semata-mata.
Setelah beroleh kuasa dan kedudukan, semuanya jadi leka mengira habuan dunia sehingga jangankan mahu melihat hudud dan RUU355 dilaksanakan, malah membela nasib Adib, anggota bomba yang terbunuh dalam tragedi kuil dan bersuara berkenaan mangsa yang dilanggar pemandu mabuk pun tidak lagi kedengaran.
Lebih dahsyat lagi, demi kemaruk kuasa dan takut hilang kedudukan, sementara sebelum ini kaum Cina dilabel dengan rasis, harbi, anti hudud, komunis dan macam-macam lagi, sebaliknya kini penunggang agama tersebut berebut-rebut mahu mencinakan penampilan mereka sendiri semata-mata dengan harapan dapat beroleh secebis sokongan kaum tersebut dalam PRU akan datang.
Hakikatnya, inilah kelompok hipokrit dan penjual agama paling dahsyat pernah wujud di negara ini, kalau pun tidak di dunia.
Dalam kebanyakan wajah dan suara pengundi yang ditemui, selain kebencian dan penolakan itu makin membesar, dapat dirasakan juga mereka hanya menunggu masa saja untuk menghukum dan membuang ke longkang kerajaan PN ini.
Jika begitu siapa yang boleh menang?
Berdasarkan perkembangan semasa, terutama dengan lulusnya usul UMNO tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu, pertandingan PRU15 hampir pasti menjadi pertembungan tiga penjuru antara PN, PH dan BN.
Dengan kedudukan PN yang terperosok teruk dibenci dan ditolak rakyat ketika ini, peluang PH dan BN adalah jauh lebih cerah dari segi memenangi banyak kerusi.
PN, walaupun ada Pas dan Gerakan didalamnya, dijangka hanya mampu menang jumlah kerusi paling sedikit sekali.
Sejak hampir setahun lalu telah membuktikan Pas tidak lagi dipercayai mampu memperjuangkan Islam bila beroleh kuasa dan parti itu hanya dilihat sebagai parti yang gah di pentas ceramah semata-mata.
Kemasukan Gerakan juga tidak mungkin mampu menyumbang apa-apa kepada PN kerana parti itu bukan sebuah parti yang dipercayai oleh kaum Cina, kedudukannya lebih kurang saja dengan MCA.
Pilihan kaum Cina tetap bersama DAP, sebuah gabungan dalam PH.
Bersatu, walau mengetuai kerajaan dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri serta beberapa pemimpinnya menguasai kementerian kanan, parti itu tidak mungkin mampu menandingi UMNO dari segi penguasaan di kawasan-kawasan Melayu.
Dengan itu, dalam kelompok PN, Bersatu dijangka paling bergelut sekali untuk meraih kemenangan, terutama di kerusi-kerusi lompat yang asalnya adalah milik UMNO dan PKR.
Tidak mustahil, oleh kerana ketaksuban pengundi Melayu di Kelantan dan Terengganu begitu totok terhadap Pas, parti itu akan menang lebih banyak kerusi berbanding Bersatu.
Begitu pun, meski peluang PH dan BN lebih baik berbanding PN, kedua-dua gabungan itu juga dilihat sukar memperolehi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan secara sendirian.
Sebuah kerajaan campuran adalah hampir pasti akan terbentuk dan siapa yang menang lebih banyak kerusi Parlimen, calon gabungan tersebutlah akan mengisi kerusi Perdana Menteri. (Shahbudindotcom 14/02/2021)