Pinda akta hukum pengguna media sosial lapuk, keterlaluan -Shamsul

 


Cadangan Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, YB Senator Datuk Razali Idris untuk meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi menghukum pengguna media sosial yang mengkritik institusi Perdana Menteri dianggap lapuk dan keterlaluan.

Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berpendapat, tidak perlu ditambah lagi akta sakit hati yang mahu menghukum rakyat yang menyakitkan hati kerajaan.

"Hakikatnya, dengan undang-undang sedia ada pun kerajaan boleh sesuka hati menghukum pandangan yang tidak bersetuju dengannya, maka sah jika digubal undang-undang baharu ini, akan ada lebih ramai lagi mangsa kezaliman akta sakit hati kerajaan.

"Institusi Perdana Menteri bukan maksum daripada kesilapan. Rakyat yang melantik mereka berhak untuk menilai prestasi dan menyuarakan pandangan terhadap kerajaan," katanya.

Shamsul juga menganggap cadangan itu bertentangan dengan nilai keterbukaan yang amat dimahukan rakyat ketika ini.

"Ketika dunia bercakap soal dasar keterbukaan cadangan ini melangkah jauh kebelakang. Bertentangan dengan nilai keterbukaan yang dipupuk oleh kerajaan Pakatan Harapan, sebelum dicuri.

"Adakah cadangan ini mengambarkan budaya yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri? Sehingga kini Tan Sri Muhyiddin Yassin mengelak daripada mengadakan sidang media terbuka," katanya.

Justeru, Shamsul meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menjelaskan pendirian kementerian dalam memastikan hak bersuara rakyat sentiasa terpelihara.

"Kita tidak harus menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara selagi ianya tidak menjejaskan keharmonian kaum dan agama," katanya.