PAS CUBA CEMARKAN MINDA RAKYAT BAWA ERTI BARU RASUAH…

Bob Kelanang


Pas  dikatakan cuba untuk mencemarkan minda rakyat dengan membawa erti baru rasuah melalui Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Senator Raja Kamarul Bahrin berkata, ketika rakyat berdepan dengan isu rasuah yang kritikal tiada seorang pun dalam kalangan orang agama dalam kerajaan, termasuk yang bergelar ulama bertindak menegur atau memperbaiki keadaan, apatah lagi menghukum penjenayah.


Tambahnya, bukan hanya para ulama dalam kerajaan enggan bersuara menegur pelaku rasuah, tetapi cuba untuk mencipta satu definisi baharu kata rasuah.


“Seolah-olah rasuah yang selama ini kita faham adalah salah dan bukan pun satu isu dalam negara.


“Di saat negara kita dijarah kekayaannya, ketika negara kita dirompak sakan, golongan ulama kerajaan yang berstatus menteri dan diplomat ini cuba mencemar minda rakyat dengan membawa erti baru rasuah.


Kamarul berkata, cadangan Abdul Hadi adalah kononnya baru memulakan kempen kesedaran berkenaan rasuah tanpa menekankan kesan dan kerosakan kronik yang telah dan boleh dibawa kepada negara ekoran kesan amalan rasuah selama ini.


“Apatah lagi untuk membicarakan soal akhlak baik, kejujuran, pentadbiran yang baik, dan ketelusan mengikut ajaran Islam sebenarnya.


“Tindakan ini samalah seperti pepatah inggeris, “lock the gate when all the cows had bolted free” (tutup pagar setelah lembu telah terlepas bebas lari keluar kandang).


“Iaitu sudah terhantuk baru terngadah, bila sudah berlaku kerosakan begitu lama barulah mahu dikesalkan,” ujarnya dalam kenyataan.


Beliau juga mempersoalkan apakah tidak cukup kerosakan kesan dari rasuah untuk diambil tindakan segera bagi mencegah masalah ini terus berleluasa?


“Cukup ironi kerana mereka ini begitu lantang mahu melaksanakan hukum hudud sewaktu menjadi pembangkang tetapi kini bisu isu tersebut dan baru mula mahu bincang konsep rasuah apabila negara di ambang keruntuhan kerana rasuah yang berleluasa,” katanya.


Kamarul yang juga Pengerusi Amanah Negeri Terengganu berkata Malaysia sudah hampir terlambat kerana rasuah adalah pendemik yang lebih lama mengancam negara berbanding Covid-19.


“Merosakkan negara untuk satu tempoh yang panjang yang mungkin padah akibatnya,” katanya.


Beliau tidak menolak pelantikan ‘imbuhan’ menteri dan pengerusi GLC adalah satu langkah terdesak Tan Sri Muhyiddin untuk mendapat sokongan politik.


“Tiada rasa malu oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk salah guna kuasa bahkan ia menjadi strategi ampuh mereka kekal berkuasa.


“Kenapa apabila pegawai kanan Petronas seperti Tan Sri Hassan Merican dan Dato Wan Zilkifly mengambil keputusan untuk berhijrah kerajaan langsung tidak berusaha untuk memastikan mereka kekal bersama?


“Melayu serta Islam seperti mana lagi yang kerajaan Melayu Islam PN hari ini idamkan untuk tadbir urus negara dengan baik dan telus?” soalnya.


Jsuteru tegasnya, selagi mana para pemimpin negara dan ulama kerajaan tidak amal apa yang mereka laungkan selama ini soal integriti dan moral, negara ini kekal menjadi kerajaan yang gagal (failed state).


“Selagi mana budaya rasuah tidak dihapuskan, Malaysia akan terus merudum dalam perlumbaan kemajuan ekonomi di Asia, tewas kepada negara jiran, dan ditinggalkan oleh rakyat kita sendiri yang berhijrah kerana pandemik rompakan dan kerakusan kuasa terlalu berleluasa di Malaysia,” tambahnya.


Baru-baru ini, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri, mahu takrif rasuah perlu dikaji dari sudut pandangan Islam yang sebenar.


Abdul Hadi berkata sumbangan kepada pihak yang memerlukan dan bukan atas tujuan peribadi sama ada individu atau masyarakat umum, tidak harus dimasukkan dalam makna rasuah.