Panas! Pemimpin Bersatu bongkar rahsia pihak yang beriya pujuk Bersatu khianat kerajaan PH

 


Panas! Pemimpin Bersatu bongkar rahsia pihak yang beriya pujuk Bersatu khianat kerajaan PH


Ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak perlu membuang masa melayan cabaran Puad Zarkashi yang mengajaknya berdebat.

Mempersoalkan pendirian ahli majlis tertinggi Umno yang sering menghentam Muhyiddin itu, Muhammad Faiz berkata Puad bagaikan mempunyai dendam peribadi.

“Puad, apa masalah peribadi kamu dengan Muhyiddin sebenarnya?

“PM tidak perlu buang masa untuk melayan makhluk seperti kamu ini berdebat kerana pemimpin negara kita itu sibuk dengan urusan rakyat yang lebih patut diberi perhatian.

“Jika kemaruk sangat nak berdebat biarlah dengan watak yang sama tahap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Faiz mengulas kenyataan Puad yang mengajak Muhyiddin berdebat selepas presiden Bersatu itu menghantar surat tuntutan yang memintanya mengemukakan permohonan maaf dan memberikan pampasan RM10 juta.

Puad sebelum ini mendakwa Muhyiddin dan pegawainya enggan menjalankan kuarantin ketika tiba ke tanah air daripada Indonesia.

Dia turut mempersoalkan sama ada perkara itu menyebabkan Menteri Kesihatan Adham Baba mengeluarkan arahan baru bahawa kuarantin menteri yang keluar negara hanya memerlukan tiga hari.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata bahawa Puad juga perlu tahu pihak mana yang bersungguh-sungguh berulang-alik ke rumah Muhyiddin bagi memujuk Bersatu agar membentuk kerajaan PN.

“Puad perlu tahu pihak mana yang bersungguh-sungguh berulang-alik ke rumah Muhyiddin bagi memujuk Parti Bersatu agar membentuk kerajaan PN.

“Tidak pula yang memujuk itu letak syarat mahu jawatan apa setelah kerajaan terbina kelak. Asalkan dapat tumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menghalang proksi DAP naik jadi PM, itu matlamat asalnya.

“Sekarang beberapa pemimpin Umno mendendangkan cerita kononnya kerajaan PN tidak adil terhadap parti mereka.

“Jujurlah, saya nak tanya, tidak adil kepada Umno atau tidak memenuhi hasrat peribadi yang mendakwa itu? Akar umbi Umno yang rasional pun mampu menilai keikhlasan watak-watak warlords mereka yang sering membalun kerajaan sendiri,” katanya.