Panas! Mahathir dedah Najib sebenarnya yang campuri badan kehakiman

 


Panas! Mahathir dedah Najib sebenarnya yang campuri badan kehakiman


Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menolak dakwaan beliau mencampuri badan kehakiman, sebaliknya menuduh Najib Razak yang berbuat demikian.

Bekas perdana menteri itu sering dikaitkan dengan dakwaan campurtangan susulan pemecatan Salleh Abas sebagai presiden Mahkamah Agung pada 1988, ketika Mahathir menerajui kerajaan.

Salleh meninggal dunia bulan lalu dan pemergiannya sekali lagi mencetuskan polemik bersabit kebebasan badan kehakiman semasa Mahathir menjadi perdana menteri keempat.

Dalam wawancara khas dengan FMT, Mahathir mengingatkan beberapa keputusan mahkamah ketika itu tidak memihak kepadanya, khususnya apabila Umno yang dipimpin beliau diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Feb 1988.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Harun Hashim, yang memutuskan Umno tidak sah kerana pemilihannya tidak mematuhi perlembagaan.

Mahathir mendakwa keputusan itu diambil berdasarkan “salah laku kecil oleh segelintir cawangan kecil Umno”.

Mahathir berkata Harun boleh mengambil tindakan terhadap cawangan terbabit namun memilih untuk mengisytiharkan seluruh Umno sebagai tidak sah.

(Dalam penghakimannya, Harun menjelaskan beliau mengambil keputusan itu kerana terikat kepada pindaan Akta Pertubuhan).

Dalam wawancara khas dengan FMT, Mahathir berkata penghakiman itu menunjukkan “banyak keputusan mahkamah ketika itu tidak memihak kepada saya.”

Meskipun begitu, Mahathir tidak bertindak balas.

“Saya tidak melakukan apa-apa pun. Malah, Harun, selepas mengisytiharkan Umno tidak sah, dinaikkan pangkat. Jadi saya tidak campuri badan kehakiman,” kata Mahathir.

Mahathir berkata dakwaan campurtangan itu timbul ekoran pemecatan Salleh selaku presiden Mahkamah Agung yang disusuli dengan penyingkiran lima hakim mahkamah sama.

(Tiga daripada mereka kemudian dikembalikan semula bertugas).

Menegaskan beliau tidak mendalangi krisis kehakiman itu, Mahathir berkata bekas peguam negara Abu Talib Othman sudah pun menjelaskan isu berkenaan.

Bagaimanapun, kata Mahathir, Abu Talib “enggan tunjukkan bahawa pada ketika itu Agong yang mahu Salleh disingkir dan saya diberi arahan.”

Mahathir berkata beliau memaklumkan Agong bahawa kedudukan Salleh hanya boleh diputuskan menerusi sebuah tribunal dan baginda bersetuju kepada pembentukannya.

“Jadi, bukan saya yang memulakannya. Saya tidak pernah campuri badan kehakiman,” kata Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga menegaskan beliau tidak pernah meminda senarai hakim yang dicalonkan untuk kenaikan pangkat atau perlantikan hakim baru yang dikemukakan kepadanya oleh ketua hakim.

Mahathir berkata dalam setiap keadaan, beliau menyerahkan senarai berkenaan terus kepada Agong.

Beliau menuduh Najib Razak sebagai pihak yang menjejaskan kewibawaan badan kehakiman apabila melanjutkan usia persaraan hakim melepasi 65 tahun.

Mahathir berkata Najib berbuat demikian untuk mengekalkan khidmat dua hakim yang memihak kepadanya.

“Tetapi dalam hal saya, keputusan mahkamah nampaknya selalu tidak memihak kepada saya,” katanya.