BOB KELANANG
Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebentar tadi mengeluarkan
poster berkaitan larangan operasi kelab malam dan pub serta restoran di dalam
premis hiburan terbabit.
Perubahan tersebut dimaklumkan menerusi Facebook rasmi MKN
sekali gus mengundang kecaman warganet.
Sebelum ini, MKN dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikemaskini pada 4 Februari membenarkan restoran
termasuk di kelab malam dan pub beroperasi hingga 10 malam.
Susulan itu, orang ramai menyifatkan MKN seperti membuat
pusingan U, bahkan menganggap kerajaan cacamarba dalam usaha melandaikan
lengkuk jangkitan Covid-19.
Ketika pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi pun ketika
pelaksanaan PKP, terdapat banyak kes pelanggaran oleh pemilik premis.
Malah, pemeriksaan polis turut mendapati ada premis hiburan
terbabit tidak mempunyai lesen sah untuk menjual minuman keras sekali gus
melanggar Akta 76 Akta Eksais 1976.
Kegagalan mematuhi arahan sepanjang tempoh PKP membolehkan
mereka terbabit dikompaun RM1,000 atau ditangkap dan didakwa di mahkamah.
Tindakan dikenakan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan
Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.