Mengenal prinsip pejuangan Anwar
RENCANA
WALAUPUN nama Anwar Ibrahim sudah tidak asing
lagi dikenali sebagai ahli politik bukan sahaja di negara ini bahkan ke
seantero dunia di Timur dan Barat, namun tidak semua orang dapat mengenali
dengan selumat-lumatnya. Bayangan dan noda yang dicipta untuk mengambusinya
menjadikan orang keliru dan samar tentangnya.
Apa lagi generasi muda berusia dibawah 20 tahun yang dizahirkan selepas pasca
Reformasi (selepas tahun tahun 1998), tidak begitu mengenali dan mengetahui
denai-denai perjuangannya. Apa lagi mereka yang malas membaca, malas menelaah,
waima yang berminat dengan politik pun tidak mudah mengenali Anwar yang telah
begitu banyak dinodai dengan persepsi buruk angkara politik. Mereka lebih
banyak mengetahui sisi gelap yang disogok daripada sisi putih yang perlu
diselidiki.
Berbeza bagi generasi sebelumnya, cukup mengenali Anwar
yang bererti “sinar” atau “cahaya” itu sebagai seorang pejuang dan pembela
rakyat. Anwar adalah pelopor dalam gerakan mahasiswa, belia, gerakan Islam dan
reformis politik. Penglibatannya dalam hal ini tidak boleh dinafikan. Peranan
dan tanggungjawab ini tidak boleh diremeh atau dipadamkan sesiapa pun. Usah
bercakap soal mehnah perjuangan dan onak ranjau dilalui sang pejuang, semua
tidak terlawan apa yang dilalui Anwar. Beliau sudah menghabisi separuh daripada
hidupnya demi rakyat.
Bukan itu sahaja, beliau juga seorang yang tidak tahu mengaku kalah dan reti
berputus asa. Beliau seorang yang penuh dan kental dengan azam. Pejuang yang
degil. Meskipun dipenjara sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) (1974 dan 1998) dan menerusi kes jenayah yang direkayasa, namun
tidak pernah menjadikan ia mengeluh dan mengalah dengan segala tribulasi
tertakdir kepadanya itu. Sebaliknya cabaran dan halangannya dijadikan pupuk
untuk beliau menyubur perjuangannya.
Obsesi membela rakyat.
Menarik untuk mengetahui kenapa beliau obses untuk membela rakyat. Perlu
diketahui agar kita tidak sesat dalam mengenali liku-liku perjuangannya. Latar
belakang kehidupan di kampungnya di Cheruk Tok Kun banyak mempengaruhinya.
Parti Umno yang dianggotai oleh kedua orang tuanya (Ibrahim Abdul Rahman dan
Che Yan Hamid) yang ditubuhkan untuk membela Melayu pada tahun 1946 menjadinya
terpanggil ikut sama mahu mencapai aspirasi Umno.
Umno ditubuhkan untuk membela nasib rakyat (Melayu) dan memerdekakan negara
daripada penjajah. Barangkali tidak salah kalau dikatakan Anwar semasa
kanak-kanaknya mengenali penderitaan rakyat daripada pengkisahan tentang
penderitaan dan kesengsaraan rakyat di bawah penjajah daripada kedua orang
tuanya. Ibunya, Che Yan seorang aktivis Kaum Ibu Umno di Pulau Pinang. History
ini juga tidak pelik kalau Anwar mempunyai sentimental value yang tinggi dengan
Umno.
Latar belakang itulah menjadikan beliau hampir dan memahami denyut nadi rakyat
miskin yang akhirnya meninggalkan benih kesedaran dan keinsafan untuk membela
nasib bangsanya sendiri.
Bertolak dari latar itu, sepanjang kehidupan baik sejak di sekolah menengah
hingga ke kampus dan membawa ke zaman belia dan dewasa berpolitik, beliau
mengabdikan diri kepada perjuangan tanpa sedikit pun rasa pamrih. Rekod
perjuangannya boleh disamak tanpa khilaf. Malahan jika hendak diadukan dengan
mana-mana pemimpin sebaya dengannya, hatta yang lebih senior iltizamnya lebih
kemas dan konsisten. Bukan itu sahaja rakan sebaya dengannya yang “tewas” dan
“karam” awal sudah lama meninggalkan gelanggang jihad.