Malaysia perlu lebih tegas kecam junta tentera Myanmar
Malaysia sewajarnya mengecam rampasan kuasa oleh junta tentera Myanmar dan tindakan keras yang dilakukan ke atas penunjuk perasaan pro demokrasi di negara itu.
Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata, kerajaan Malaysia harus menyuarakan bantahan lebih keras dan mengenakan tekanan politik ke atas pihak junta agar segera membebaskan tahanan politik yang semakin meningkat jumlahnya.
“Tindakan terbaru pihak Tatmadaw (tentera) dipimpin General Kanan Min Aung Hlaing adalah langkah ke belakang bagi demokrasi dan tidak mengendahkan suara rakyat Myanmar yang telah mengundi pada pilihan raya 2020 untuk menolak pemerintahan tentera.
“Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) telah mendapat kemenangan besar dan keputusan tersebut perlu dihormati.
“Kami sangat terkesan menerima berita hampir 500 pimpinan politik, aktivis dan penunjuk perasaan termasuk Aung San Suu Kyi telah ditahan di Myanmar. Kami mengecam penahanan-penahanan ini dan menggesa agar semua tahanan dibebaskan.
“Kami juga sangat terkesan menerima laporan yang menunjukkan tindakan keras pihak keselamatan terhadap penunjuk perasaan yang mengakibatkan sejumlah orang awam cedera parah atau terbunuh. Junta tentera mesti menghentikan penggunaan peluru hidup terutama dalam menghadapi penunjuk perasaan.
“Kerajaan Malaysia (dalam hal ini) perlu mengecam kudeta tentera dan terus memberi tekanan melalui perbincangan membina sehingga semua tahanan politik dibebaskan dan demokrasi segera dikembalikan,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Majlis Presiden juga mengingatkan kerajaan Malaysia agar tidak meneruskan polisi penghantaran pulang 1,200 pelarian warganegara Myanmar sehingga suasa politik negara itu kembali pulih.
“Kami juga menggesa Kerajaan Malaysia mempertimbang semula keputusan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar kerana tindakan ini mengesahkan (mengiktiraf pemerintahan) junta tentera.
“Tindakan menghantar pulang pelarian ke zon konflik sejurus selepas konfrontasi masyarakat awam dengan pihak tentera juga mungkin menjejaskan keselamatan pelarian.
“Sehingga pemerhati antarabangsa dapat mengesahkan keadaan sebenar di Myanmar telah selamat, Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan nyawa-nyawa pelarian tersebut tidak terancam,” kata mereka lagi.
Oleh itu, Majlis Presiden menyarankan kerajaan Malaysia menunjukkan kepimpinan lebih yang berwibawa di ASEAN dengan mencari penyelesaian kepada krisis tersebut dan mengusahakan agar demokrasi dikembalikan di Myanmar.
Kestabilan dan kemakmuran Myanmar seharusnya menjadi keutamaan rantau ASEAN.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.