POSTED BY AMIR WRLR
Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap kerajaan yang sering
memihak kepada golongan kaya berbanding golongan susah, terutamanya ketika
pandemik Covid-19.
Ketika menyampaikan ucaptama dalam Wacana Antarabangsa Ekonomi Manusiawi, Anwar selaku Pengerusi Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) memberikan contoh bagaimana kerajaan memihak kepada institusi bank.
"Dalam penyata kewangan 2020, Maybank mencatatkan keuntungan RM6.48 bilion, Public Bank catat RM4.87 bilion keuntungan manakala RHB Bank catat keuntungan RM2.30 bilion.
"Tapi menteri kewangan mengulas bank rugi RM6.4 bilion kerana langkah moratorium.
"Penyata kewangan kata untung berbilion tapi sang penguasa cakap bank rugi kerana beberapa langkah menolong rakyat yang meminjam.
"Ini kesukaran untuk menembusi tembok sang penguasa yang lebih memihak golongan kaya," katanya.
Anwar juga memberi contoh bagaimana petani dan pesawah terus-terusan hidup sudah kerana beras dan padi dimonopoli satu pihak.
"Beras dan padi dimonopoli dan untung kepada syarikat yang menguasai industri ini, untung itu ratusan juta tapi yang bekerja petani dan pesawah dalam kategori miskin tegar, ini tidak munasabah.
"Sepatutnya sebahagian besar pegangan saham untuk import beras adalah diagihkan secara adil kepada kelompok yang mengerjakan sawah dan mendapat habuan setimpal," katanya.
Disebabkan itu, Anwar percaya dalam membangunkan negara, prinsip kemanusiaan tidak boleh diabaikan begitu sahaja.
"Jangan sambil membangun kita robohkan. Ini soal kemanusiaan, yang kita bangun industri tapi yang kita robohkan kemanusiaan.
"Dalam situasi ketika ini, yang dibangunkan ekonomi, tapi yang dirobohkan nilai kemanusiaan.
"Kita tindas pekerja, kita ambil keuntungan bagi golongan kaya, syarikat untung ratusan juta, gaji pekerja sekadar mahu hidup, hidup paling sesak seperti hamba abdi, hamba moden, harus ada asakan dalam kalangan masyarakat untuk menyedarkan sesama kita.
"Malah dalam Covid-19 ini memberi ruang untuk memperkaya segelintir pihak dianggap satu hal yang biasa dan syarikat berkembang, catat untung berbilion ringgit. Tokoh usahawan dan peniaga mengaut untung.
"Perkara ini mesti menjadi perbicaraan dan disampaikan khalayak lebih luas supaya mudah untuk kita memecah tembok penguasa.
"Ini satu permasalahan yang sangat besar dan memerlukan reform dalam pemikiran masyarakat," katanya.
Beliau juga menganggap tindakan kerajaan menaikkan denda RM10,000 bagi yang melanggar SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
"Ini mendera rakyat sedangkan VVIP dan pembesar yang melanggar SOP pun belum dengar mereka dihukum. Paling tidak pun hukum bayar sikit sahaja.
"Padahal ada nelayan yang dipenjara, ada petani didenda. Kita memerlukan reform yang menyeluruh dan idealistik," katanya.