ISU VIDEO INI TERLALU REMEH UNTUK SEORANG MENTERI KANAN MEMBUAT LAPORAN POLIS MENGENAINYA

 


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dilaporkan akan membuat laporan polis berhubung “video lama” berkaitan dirinya yang tular di media sosial sejak sehari dua ini.

Laporan polis itu dijangka akan dibuat hari ini di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Dalam video itu ia menunjukkan Ismail Sabri hadir majlis bersama beberapa orang lain tanpa memakai pelitup muka dan duduk bersama di meja jamuan dengan tidak menjaga penjarakan sosial.

Video berkenaan sebenarnya bukan majlis baharu yang dihadirinya, tetapi dikatakan ketika hadir majlis pelancaran Tabung Pahlawan di Royal Chulan Hotel, Kuala Lumpur pada 15 September tahun lalu.

Laporan polis itu dibuat Ismail Sabri kerana merasakan beliau difitnah berhubung penyebaran video tersebut.

Soalnya, di mana fitnahnya video tersebut jika kejadian berlaku pada 15 September tahun lalu?

Bukankah pada September 2020 lalu, Covid19 masih melanda negara dan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal masih diwajibkan?

Takkan sebagai menteri kanan yang bertanggungjawab dalam hal Covid19, beliau tidak tahu mengenainya?

Lagi pun, sebagai ahli politik, berdepan kejian, cercaan malah fitnah sekali pun adalah perkara biasa saja sebenarnya.

Jika fitnah tersebut dalam hal yang besar melibatkan maruah seperti dituduh terima wang, ada skandal dengan artis, video berkaraoke dengan beberapa wanita dalam bilik gelap atau sebagainya, barangkali bolehlah diterima jika laporan polis hendak dibuat.

Contohnya seperti Ismail Sabri sendiri pernah menuduh Nurul Izzah Anwar sebagai pengkhianat dalam isu pencerohohan di Lahad Datu, Sabah beberapa tahun lalu.

Maka, dalam kes tersebut terlihat wajarlah sesuatu tindakan hendak diambil.

Berikutan fitnah itu, Nurul Izzah telah menyaman Ismail Sabri bersama bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar.

Nurul Izzah akhirnya memenangi saman tersebut dan Ismail Sabri telah diarah membayar RM450 ribu, manakala Khalid sebanyak RM400 ribu.

Ini sekadar video lama yang digambarkan seolah-olah baru berlaku, sangat remeh sebenarnya untuk dibuat laporan polis oleh seorang menteri kanan dan politikus yang sudah sepatutnya telah masak dengan sepak terajang dunia politik.

Lebih daripada itu, membuat laporan polis dalam kes seremah itu hanya menambahkan beban polis saja untuk menyiasatnya.

Tidak kasihankan beliau terhadap anggota polis yang sudah sedia dibebankan dengan banyak kerja seperti berpanas dan berhujan melakukan sekatan jalanraya di ketika PKP 2.0 ini?

Untuk kes video ini, sebenarnya memadai dengan hanya Ismail Sabri atau pejabatnya membuat penafian melalui media saja.

Tapi, sebelum itu silalah jawab dulu kenapa pada waktu video tersebut diambil iaitu pada 15 September 2020, beliau tidak memakai pelitup muka serta tidak menjaga penjarakan sosialnya di majlis tersebut? 

(Shahbudindotcom 13/02/2021)