AirAsia Group Bhd mengumumkan Dr Stanley Choi sebagai pemegang saham penting kumpulan melalui entiti milik penuhnya, Positive Bloom Ltd pada 18 Februari 2021.
Beliau memperoleh 167.1 juta saham AirAsia melalui tahap pertama penempatan persendirian, yang meningkatkan pegangan sahamnya dalam kumpulan itu kepada 332.5 juta saham bersamaan dengan 8.96 peratus.
Choi adalah Pengerusi Head & Shoulders Financial Group, selain Pengerusi dan Pengarah Eksekutif International Entertainment Corporation (IEC), sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong.
Beliau juga satu-satunya ahli pengasas bersama dari Hong Kong bagi YunFeng Capital, sebuah syarikat ekuiti swasta yang ditubuhkan pada 2010 oleh sekumpulan usahawan dan pemimpin industri berpengaruh.
YunFeng Capital dinamakan sempena pengasas bersamanya iaitu pengasas Kumpulan Alibaba, Jack Ma dan dan pengasas Target Media, David Yu.
Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Target Insurance (Holdings) Limited dari 2014 hingga 2019; Pengarah ZhongAn Online P&C Insurance Co Limited dari 2013 hingga 2016; dan Pengarah Eksekutif Media Asia Group Holdings Limited dari 2011 hingga 2015.
Dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya, Choi memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan kewangan dan projek penggabungan dan pengambilalihan, dengan tumpuan khusus pada pelaburan ekuiti swasta.
Beliau juga pelabur awal untuk Kidswant, sebuah syarikat permulaan dari China yang kini menjadi peruncit produk ibu, bayi dan kanak-kanak terkemuka di China bernilai lebih daripada AS$3 bilion.
“Saya berasa sukacita untuk menjadi salah seorang pemegang saham penting dalam AirAsia Group – syarikat tambang rendah terbaik dunia dan salah satu jenama yang paling terkenal di Asia yang kini turut menjalankan perniagaan digital.
“Saya percaya cabaran terburuk dalam sejarah industri penerbangan kini sudah berlalu. Saya yakin perjalanan udara akan pulih dan di bawah kepimpinan Tan Sri Tony (Fernandes) dan Datuk Kamarudin (Meranun), serta pelaksanaan vaksin di seluruh Malaysia, AirAsia mempunyai masa depan yang amat cerah.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan semua orang di AirAsia,” kata Choi dalam satu kenyataan dikeluarkan AirAsia.