GELARAN PALING LAYAK BUAT MUHYIDDIN – TOKOH PERUTUSAN KHAS SEDUNIA

 

Sedar tak sedar, dalam tempoh belum pun sampai setahun berkuasa, rupa-rupanya Muhyiddin Yassin telah muncul sebanyak 38 kali menyampaikan perutusan khas melalui kaca televisyen.

Sebaliknya, belum pernah sekali pun beliau berani bersoal jawab secara terbuka dengan media, baik dalam atau luar negara, sebagaimana lazim dilakukan oleh semua Perdana Menteri sebelum ini.

Ghairahnya Muhyiddin mahu tampil menyampaikan perutusan khas secara sehala itu sehingga sempena Hari Wilayah Persekutuan semalam pun beliau juga yang muncul berbuat demikian.

Walhal sebelum ini, tidak pernah sama sekali mana-mana Perdana Menteri menyampaikan perutusan khas sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan diadakan.

Dalam hal ini, mujurlah hanya ada Hari Wilayah Persekutuan saja di negara kita, kalaulah ada Hari Johor, Hari Melala, Hari Kedah dan sebagainya, pastilah beliau juga akan mengambil kesempatan muncul dengan perutusan khas yang ucapannya makin memualkan rakyat itu.

Dengan pencapaian Muhyiddin yang amat cemerlang itu, beliau bukan saja mengatasi semua Perdana Menteri sebelum ini, bahkan sejak zaman Nabi Adam dan barangkali sehingga Hari Kiamat nanti pun mungkin tidak ada mana-mana Perdana Menteri atau ketua kerajaan di alam maya ini yang mampu mengatasinya dari segi kekerapan muncul melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.

Dengan pencapaian yang tiada tolok bandingnya itu, Muhyiddin sebenarnya layak dianugerahkan gelaram Bapa Perutusan Khas Sedunia Kelas Dewata.

Bahkan jika Azmin Ali atau Annuar Musa sedia mengadakan majlis besar-besaran meraikan pencapaian Muhyiddin itu dan disiarkan pula secara langsung ke seluruh dunia, ia pasti bukan saja menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa, malah juga mampu meningkatkan ekonomi serta melonjakkan kemasukan pelabur asing ke dalam negara.

Apakah kita sebagai rakyat marhaen yang hanya ada satu undi dalam tangan masing-masing tidak mahu tumpang bangga sama? 


(Shahbudindotcom 01/02/2021)