Ekonomi meleset Menteri Kewangan mengarut?
Menteri Kewangan tidak perlu memperbaiki fakta ekonomi dengan propaganda kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid 19 tidak menjejaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, angka-angka penguncupan ekonomi yang dilaporkan Bank Negara Malaysia mengenai suku ketiga dan keempat 2020 telah cukup membuktikan unjuran Menteri Kewangan sebelum ini tidak tepat, malah lari jauh dari kenyataan.
“Untuk tahun 2020 penguncupan sepenuhnya (KDNK) 5.6%. Ini jauh lebih tinggi daripada unjuran Kementerian Kewangan sekitar 3 – 5.5%. Kenyataan terakhir ini lebih membimbangkan.
“Angka ini jauh lebih parah daripada unjuran Menteri Kewangan. Apa kata Menteri Kewangan sebelum ini? Jangan bimbang PKP, jangan bimbang Covid 19 kerana unjuran ekonomi Malaysia masih mantap,” kata Anwar dalam sesi Facebook live malam tadi.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu menolak jangkaan Kementerian Kewangan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia akan memantul tinggi sehingga 6% pada tahun 2021 berdasarkan fakta kelemahan pertumbuhan pada 2020.
Menurut Anwar, kenyataan seperti itu pernah diulas oleh Almarhum Ungku Aziz mengenai ahli ekonomi yang sering berbicara tidak berjejak kenyataan yang dihadapi rakyat.
“Sekarang unjuran Menteri Kewangan jelas bercanggah dengan kenyataan angka yang diperolehi oleh Bank Negara Malaysia tentang penguncupan ekonomi. Kalau berlaku penguncupan pada akhir 2020, tak kan 2021 tak semena-mena boleh meningkat 6%?
“Jadi unjuran ini harus berjejak di bumi yang nyata. Apa dia bukti berdasarkan keterangan dan angka yang disebutkan (boleh berlaku pertumbuhan tinggi),” katanya.
Dalam pada itu, menurut Anwar, penguncupan ekonomi bermakna terdapat banyak perniagaan yang merudum dan gulung tikar.
Apabila hal itu berlaku, katanya, pemberhentian kerja tidak boleh dielakkan dan penganguran meningkat tinggi.
“Kalau penguncupan berlaku maka perniagaan banyak yang tutup. Oleh kerana saya tidak mahu dianggap beri kenyataan umum maka kita bacakan, pada Mac hingga Jun 2020 hampir 10,000 peniagaan tutup. sama ada muflis atau tidak hidup lagi, pokoknya tak boleh beroperasi.
“Jun hingga November sebanyak 20,325 perniagaan ditutup. Kenyataan dari Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia menyebut pada November 2020, 30,000 syarikat tutup
“Maknanya kita hadapi masalah gawat. Persatuan peniaga kecil menganggap peniaga kecil hadapi kemerosotan dan juga penutupan, dijangka (menjejaskan) 1/3 daripada keseluruhannya tanpa detail. Inilah angka-angka (yang tidak menipu),” kata Anwar.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan Perikatan Nasional bersikap lebih telus dalam menghadapi pandemik ekonomi bagi merangka pelan pemulihan yang lebih berjejak di bumi nyata.
Anwar juga menyentuh mengenai pekerja yang terjejas pendapatan sepanjang PKP 1.0 dan 2.0. Beliau mendedahkan laporan kajian yang menunjukkan pendapatan rakyat merosot lebih 30% sepanjang dua PKP tersebut.
“Dari keseluruhan (PKP) pendapatan rakyat merosot 33%. Maknanya kalau gaji RM2,000 turun 33%. Tidak benar ekonomi terkawal. Mungkin terkawal bagi Pak Menteri tetapi terbeban dalam kalangan rakyat.
“Di kalangan yang bekerja pula 57% tidak ada jaminan dari sudut peluang jaminan hidup, pencen dan sebangainya. 75% dari kelompok pekerja ini miskin dan tidak ada simpanan sama sekali. Ini maknanya majoriti tak mampu mengendali hidup mereka sebagaimana sebelum PKP,” katanya lagi.