Pertamanya, syabas dan tahniah kepada Parti KEADILAN kerana
telah menambah baik sistem dan kaedah pemilihan calon bagi mewakili parti di
dalam PRU15 akan datang. Sudah tentu kaedah yang diperkenalkan ini adalah
berpandukan kesan dan pengajaran dari sistem lampau yang cuba untuk diperbaiki
bagi melahirkan calon yang lebih berwibawa dan mempunyai jati diri.
Permohonan untuk menjadi calon lebih terbuka adalah baik untuk
demokrasi
Semua ahli KEADILAN dibenarkan untuk menawarkan diri menjadi
calon asalkan ada penyokong dan pencadang dari kawasan yang ingin diwakilinya.
Maksudnya, tidak lagi menjadi kewajipan seseorang yang ingin menjadi calon itu
perlu disokong oleh Ketua Cabang. Kaedah ini boleh mengatasi masalah calon yang
berkebolehan tetapi disekat atau dihalang oleh Ketua Cabang hanya kerana
terdapat masalah peribadi di antara calon dan Ketua Cabangnya. Ini adalah
kerana ketua Cabang menggunakan 'kuasa veto' atau mengikut kehendaknya sendiri
tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Cabang. Di situ muncullah apa yang disebut
'kronisme' iaitu satu perbuatan yang sangat bertentangan dengan prinsip
KEADILAN.
Permohonan calon wajib melalui Cabang
Apa yang terbaik? Meskipun semua ahli layak untuk menawarkan
diri sebagai calon, tetapi lebih baik dan perlu diwajibkan iaitu perlu melalui
Cabang iaitu Jawatankuasa Cabang, bukannya hanya melalui Ketua Cabang. Ketua
Cabang tidak seharusnya membelakang Jawatankuasa Cabang di dalam memproses
setiap permohonan calon. Sekiranya Jawatankuasa Cabang menolak permohonan
seseorang calon untuk bertanding, sebaiknya permohonan itu tidak diterima dan
tidak harus disokong oleh Ketua Cabang.
Ianya bertujuan agar setiap calon yang menawarkan diri untuk bertanding
tahu menghormati Cabang kerana Cabang bertanggungjawab untuk menggerakkan
jentera pilihanraya di semua kawasan yang ditandingi. Mana mungkin seseorang
calon yang membelakangkan Cabang akan mendapat bantuan dan sokongan dari
jentera pilihanraya yang diwujudkan? Tidak ada gunanya Jawatankuasa Cabang
diwujudkan sekiranya calon yang dipilih tidak mendapat restu Cabang. Begitu
juga tidak ada gunanya Jawatankuasa Cabang dibentuk sekiranya Ketua Cabang
berkuasa mutlak memilih seseorang calon. Amalan 'kronisme' boleh dihapuskan
sekiranya Jawatankuasa Cabang diberikan mandat untuk memilih mana-mana calon
yang difikirkan layak untuk diangkat sebagai calon. Seramai mana pun calon yang
menawarkan diri seharusnya perlu melalui Cabang terlebih dahulu.
Hapuskan budaya 'calon payung terjun'
Budaya calon 'payung terjun' ternyata banyak mendatangkan kesan
negatif kepada parti. Kita pernah menyaksikan sewaktu kempen pilihanraya,
terdapat perbuatan memboikot calon dan menutup bilik gerakan, bahkan sehingga
ada yang mengambil tindakan drastik keluar dari parti kerana kecewa apabila
calon yang dipilih bukan dari pilihan Cabang. Memang benar kita selalu sebut,
parti lebih penting dari individu, tetapi kita harus ingat bahawa parti itu
kuat dan berfungsi kerana Cabang. Parti dilihat lemah di satu-satu kawasan
kerana Cabangnya lemah. Ertinya, kekuatan parti itu bergantung kepada kekuatan
Cabang dan Ranting-Ranting di bawahnya. Jika kita anggap parti itu lebih
penting dari individu, maka kita harus terima bahawa Cabang itu juga amat
penting. Tiada seorang pun boleh melangkau Cabang jika mahu memenangkan parti.
Calon 'payung terjun' dianggap menghina dan merendahkan Cabang
Calon 'payung terjun' lazimnya dipengaruhi oleh faktor
'kronisme' samada dari pihak Pusat mahupun negeri. Lazimnya calon seperti ini
bukanlah yang berkhidmat dan bekerja kuat di Cabang atau kawasan yang ingin
ditandinginya. Bahkan kadangkala calon seperti ini tidak dikenali bukan sahaja
oleh para pengundi bahkan di kalangan ahli Cabang itu sendiri. Meletakkan calon
'payung terjun' tanpa alasan yang munasabah adalah dianggap menghina dan
merendah-rendahkan Cabang. Sekiranya pimpinan menganggap tiada satu pun calon
yang diangkat oleh Cabang itu layak atau berpotensi untuk menang dan perlunya
calun 'payung terjun', sewajarnya Cabang dimaklumkan terlebih dahulu agar
Jawatankuasa Cabang benar-benar memahami mengapa calon-calon dari Cabang
terpaksa ditolak dan mengapa calun 'payung terjun' itu wajar diangkat. Kaedah
berunding ini perlu bagi mengelakkan sabotaj atau salah faham sehingga
menjejaskan peluang kemenangan untuk parti.
Hargai mandat dari Cabang
Saya sering memetik kata-kata hikmat dari tokoh politik yang
hebat, Almarhum Haji Suhaimi Said, bekas Ketua Cabang K.Krau yang juga bekas
Pengerusi Biro Felda Pusat yang mengungkapkan kata-kata " Bekerja belum
tentu menang, tidak bekerja sudah pasti kalah". Kata-kata hikmat ini boleh
dijadikan "tangkal azimat' kepada semua bakal calon.
Parti telah menetapkan KPI kepada semua bakal calon dan mereka
wajib memenuhi sebilangan besar dari keseluruhan KPI tersebut. KPI bukan
bertujuan untuk menekan bakal-bakal calun, tetapi untuk diri mereka sendiri
agar dapat membantu kemenangan. Setiap calun yang diangkat oleh Cabang wajar
menghormati mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh Cabang. Mereka harus
bekerja kuat bagi mencapai KPI yang ditetapkan. Sekiranya mereka berjaya
memenuhi sebahagian besar dari KPI yang ditetapkan. sudah tentu memudahkan
Cabang untuk membuat keputusan bahawa mereka adalah calon yang tepat untuk
dipilih. Sekaligus, menafikan peluang pihak luar atau calun 'payung terjun'
untuk mengambil tempat.
Penyelaras bukan jaminan untuk menjadi calun
Setiap yang dilantik sebagai Penyelaras samada di Parlimen atau
Dun, mereka mesti bekerja seolah-olah mereka adalah calon walaupun Penyelaras
tidak semestinya menjadi calon. Lazimnya, calon itu datangnya dari Penyelaras,
maka wajiblah Penyelaras itu bekerja kuat sekiranya mahu menjadi calun.
WFAUZDIN NS