BUKU teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengagungkan komunis dan ‘memfitnah Melayu telah disemak ketika zaman pemimpin UMNO menjadi menteri pendidikan.
Bekas Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, kurikulum Sejarah telah disemak semula pada tahun 2014 dan dilaksanakan pada tahun 2017 bermula dengan murid-murid tingkatan satu.
“Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) ini sebenarnya telah diperkenalkan pada 2017 menggantikan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang mula dilaksanakan pada tahun 1989.
“Kesimpulannya mudah, KSSM ini telah bermula pada tahun 2017, yang mana waktu itu Menteri Pendidikan adalah dari parti UMNO,” kata Maszlee.
Beliau menjawab dakwaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 mengandungi fakta yang mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.
Asyraf Wajdi Dusuki turut mendakwa buku teks tersebut juga terdapat elemen memfitnah orang Melayu sebagai barua atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang komunis dan Tentera Anti Jepun Tanah Melayu (MPAJA).
Beliau mendakwa perkara tersebut semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ secara halus kepada pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidak buruk.
“Amat mustahil untuk PH melakukan semua ini dalam masa setahun lebih memerintah. Ini bermakna untuk buku teks yang dicetak pada 2019 dan digunakan pada tahun 2020, prosesnya bermula sejak 2014/2015 lagi.
“Sekali lagi, saya nak beritahu kepada Dr Asyraf Wajdi, menteri pendidikan pada tahun 2015 adalah dari parti UMNO. Boleh tanya beliau sendiri,” kata Maszlee.
Tambah beliau, kesemua pakar yang diletakkan penghargaan di muka depan buku teks tersebut adalah pakar Sejarah Malaysia dan sebahagiannya dikenali rapat dan condong dengan parti UMNO.
Antara yang disenaraikan adalah Prof. Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof. Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof. Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr. Ho Hui Ling(UM); Prof. Sivamurugan Pandian (USM); Prof. Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof. Madya Bilcher Bala (UMS).
Pada muka surat 75 buku teks tersebut menyatakan terdapat gerila Cina yang dikuasai oleh nasionalis daripada Parti Kuomintang (KMT) menentang tentera Jepun di utara Tanah Melayu terutamanya di Hulu Perak dan Kelantan.
Mereka telah menubuhkan Overseas Chinese Anti-Japanese Army (OCAJA) yang dikenali sebagai Tentera Bintang Satu. Gerila KMT bersetuju bekerja sama dengan MPAJA atau Parti Komunis Malaya menentang Jepun.
Pada muka surat sama, buku teks tersebut menyatakan MPAJA merupakan gerakan anti-Jepun yang terbesar di Tanah Melayu.
Gerakan MPAJA yang semakin meningkat mendorong pentadbiran tentera Jepun menggunakan pasukan tentera atau polis yang dianggotai orang Melayu untuk menentang kumpulan itu.
Buku teks itu menyatakan, tindakan tentera Jepun tersebut telah menimbulkan ketegangan kaum.
“Ini bererti, kohort murid-murid tingkatan satu pada 2017 akan memasuki tingkatan empat pada tahun 2020.