ÀNNUAR MUSA LANGGAR KETETAPAN PARTI.SUDAH BOLEH DIAMBIL TINDAKAN



 Bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa berkata, beliau tidak akan sesekali berputus asa untuk menyatukan parti-parti Melayu meskipun berdepan kemungkinan dipecat daripada UMNO.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menambah, beliau sedar ada pihak mendakwanya cenderung kepada ‘sebuah parti Melayu’ tertentu.

“Saya tidak akan ‘give up’ walau saya dipecat kerana dikatakan pro kepada sebuah parti Melayu.

“Saya istiqamah dengan pendirian bahawa parti saya hanya akan menjadi kuat sekiranya parti saya berupaya bermuafakat dan berkerjasama dengan semua parti Melayu yang lain,” katanya melalui satu hantaran di laman sosialnya.

Walaupun tidak menyebut nama parti berkenaan, semua orang tahu parti Melayu yang dikaitkan dengan Annuar itu adalah Bersatu pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Dalam beberapa kenyataannya sebelum ini, Annuar memang terkenal dengan ketegaran pegangannya bahawa UMNO harus bekerjasama dengan Bersatu, selain bersama Pas, jika ingin menang dalam PRU15 akan datang.

Bagi Annuar, UMNO tiada harapan untuk menang jika bersendirian kerana BN yang ditunjanginya kini sudah menjadi semakin kecil dengan hanya ada empat parti saja di dalamnya, berbanding 16 parti pada PRU14 lalu.

“Sebelum kita fikir untuk meletakkan calon Perdana Menteri daripada UMNO, fikirkan dulu sama ada BN boleh menang atau tidak pada PRU akan datang,” katanya dalam sebuah wawancara dua hari lalu.

Begitu pun, di ketika Annuar sehingga hari ini masih mahu berusaha menyatu-padukan parti-parti Melayu, termasuk memastikan UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan Pas, UMNO bahagian-bahagian dalam mesyuarat perwakilan pada 1-3 Januari lalu secara majoritinya telah pun meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu.

Keputusan muktamad berhubung usul itu dijadual akan dibawa untuk dibahas dalam Perhimpunan Agung UMNO, 31 Januari lalu bagi menjadikannya sebagai ketetapan parti.

Namun demikian, perhimpunan itu terpaksa ditangguhkan kerana perlaksanaan PKP dan darurat.

Sehingga ini, belum ada tarikh baru bila Perhimpunan Agung UMNO bakal diadakan, tetapi Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan baru-baru ini ada membayangkan kemungkinan ia akan diadakan secara maya jika PKP berlarutan lebih lama.

Dengan tertangguhnya perhimpunan itu, bermakna keputusan untuk memuktamadkan ketetapan berhubung usul putus hubungan dengan Bersatu juga jadi tertunda.

Tetapi, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dalam kenyataan media pada 9 Januari lalu ada menegaskan, MT UMNO yang bermesyuarat pada 6 Januari telah bersetuju untuk putus hubungan dengan Bersatu, sesuai dengan usul yang telah diluluskan oleh UMNO bahagian-bahagian sebelum itu.

Oleh kerana MT adalah badan pembuat keputusan tertinggi parti ketika tiada Perhimpunan Agung UMNO diadakan, bermakna keputusan bersetuju untuk putus hubungan dengan Bersatu yang dibuat pada 6 Januari lalu adalah sah dan terpakai buat masa ini.

Dengan itu, sepatutnya tiada mana-mana pihak dalam UMNO dibenarkan lagi bercakap untuk membawa UMNO bekerjasama dengan Bersatu lantaran ketetapan MT ialah setuju putus hubungan dalam PRU akan datang.

Maka, jika Annuar terus berusaha untuk membawa UMNO bekerjasama dengan parti-parti Melayu lain, termasuk Bersatu, ia adalah suatu tindakan yang salah dan bertentangan dengan ketetapan parti.

Termasuk dengan beberapa kecaman yang dibuatnya secara terbuka terhadap Zahid Hamidi, beliau sebenarnya sudah boleh diambil tindakan disiplin oleh parti.

Apakah Annuar tidak tahu atau tidak sedar tentang kesalahan yang telah dilakukannya?

Tetapi, mengapa pula Annuar ada menyebut tentang kemungkinan dirinya dipecat daripada UMNO?

Tidakkah ia menunjukkan Annuar sedar tentang kesalahan melanggar ketetapan parti yang mungkin telah dilakukannya?

Jika begitu, mengapa beliau masih terus mahu bercakap tentang kerjasama UMNO dengan Bersatu?

Apakah Annuar sebetulnya sedang mencabar Zahid Hamidi dan UMNO agar memecatnya atau beliau memang menunggu untul dipecat agar dengan itu akan memudahkannya menyeberang menyertai Bersatu? (Shahbudindotcom 08/02/2021)