Agong tidak perlu dilibatkan dalam darurat – Aziz Bari
Pentadbiran Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin dinasihatkan agar tidak mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam perjalanan pentadbiran kerajaan darurat beliau.
Pakar Undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz bari berkata, Agong sebagai raja berperlembagaan hanya terlibat dalam perisytiharan darurat dan tidak dalam hal-hal yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepanjang darurat berjalan.
“Sewaktu berucap ke seluruh negara semalam PM Muhyiddin menyebut Agong faham, akur kepada undang-undang yang saya fikir tidak sepatutnya dimasukkan kerana baginda sebagai raja berperlembagaan tidak wajar diseret dalam soal ini.
“Oleh kerana peranan Agong dalam hal darurat terbatas kepada perisytiharan sahaja manakala pembuatan ordinan (undang-undang) di bawah perisytiharan itu termasuk sebagai kerja-kerja kerajaan. Saya lihat tidak sepatutnya penglibatan Agong di masukkan. Saya fikir ini tidak sihat seolah-olah beri gambaran kepada kita jangan cakap apa-apa tentang hal ini.
“Saya fikir ini tidak betul, sebagai raja berperlembagaan istana atau raja tidak melakukan peranan aktif dari segi pentadbiran, termasuk penglibatan undang-undang di bawah proklamasi darurat.
“Sebagai orang yang lama dalam kerajaan, Muhyiddin yang mula jadi Ahli Parlimen Pagoh sejak 1978, sepatutnya prinsip asas kerajaan ini difahami beliau. Saya tidak nampak bagaimana perlunya Agong dilibatkan,” katanya dalam siaran forum melalui aplikasi zoom yang dianjurkan Angkatan Muda KEADILAN Johor, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai pembekuan kuasa Agong berikutan proklamasi darurat, Dr Aziz bertanya adakah pindaan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan itu dibuat berdasarkan perkenan Yang di-PertuanAgong dan Raja-raja Melayu.
Menurutnya sejak pindaan Perlembagaan 1983, Raja-raja Melayu tidak memberi perkenan kepada hal itu
“Saya sebutkan di sini, apabila pentadbiran Mahathir melakukan pindaan Perlembagaan pada 1983 yang mengambil kuasa perkenan Agong kepada rang undang-undang di Parlimen, hal itu dibantah oleh Raja-raja Melayu.
“Sekarang apabila Ordinan Darurat digunakan untuk membekukan kuasa Agong di bawah Perkara 55, sudahkah perkenan atau persetujuan Raja-raja Melayu didapatkan?
“Khususnya kepada Agong sendiri, sebab Muhyiddin kata Agong faham undang-undang, seolah-olah menggambarkan Kebawah Duli Tuanku ini turut aktif dalam pentadbiran. Ini amat dipersoalkan.
“Sebagai orang lama di Parlimen sepatutnya YB Pagoh faham dan ini satu perkara yang amat pokok dan mendasar,” katanya.
Ketua Pembangkang DUN Perak itu juga berpendapat, darurat yang diisytiharkan sejak 11 Januari lalu tidak wajar dilaksanakan sehingga melumpuhkan kuasa Agong memanggil sidang Parlimen.
Beliau mengimbau darurat jerebu pada hujung 1990an lalu yang hanya terbatas kepada isu cuaca buruk dan tidak mempunyai kuasa besar sebagaimana hari ini.
“Kenapa darurat ini tidak dilakukan sebagaimana hujung 90an ketika kita diancam jerebu dahulu. Darurat diisytiharkan tetapi bukan seperti yang berlaku sekarang ini.
“Kalau kita andaikan kita akur kepada sebahagian alasan (perlunya darurat), kalau sekali pun kita beri ruang, saya fikir kita harus melakukan seperti sebelum ini, disiytiharkan spesifik untuk menangani darurat (cuaca) sahaja.
“Tidak timbul kuasa Agong di bawah Perkara 55, seperti memanggil, membubar dan memprorog Parlimen dibekukan,” katanya.