ABAH , CEPAT LAH BLAH...


Muhyiddin Yassin yang cuba menarik perhatian rakyat dengan mempopularkan panggilan Abah untuk dirinya sejak bergelar Perdana Menteri, adalah sosok paling dibenci dan tidak dikehendaki di Malaysia ketika ini.

Di mana saja ada ruang untuk rakyat bercakap atau meluahkan kata-kata, pasti kita akan dapat mendengar cemuhan, kata nista dan makian terhadapnya.

Jika sejak beberapa bulan sebelum ini ruang komen media sosial Abah sendiri penuh dengan serangan terhadap dirinya, ia kemudian merebak ke laman Facebook Istana Negara di mana luahan tidak puas hati memenuhi satu hantaran berkaitan Muhyiddin yang dimuatkan di situ.

Semua luahan rakyat melalui Facebook Istana Negara itu adalah petunjuk rasa tidak puas hati yang bolehndifahami bertujuan agar Agong dapat berbuat sesuatu mengakhiri kepimpinan Muhyiddin yang dianggap menyusahkan rakyat dan tidak diperlukan lagi.

Semalam pula, sementara lawatannya merentas negara ke Indonesia sudah sedia dipertikai banyak pihak kerana Muhyiddin dilihat tidak menunjukkan teladan yang baik sebagai pemimpin dalam tempoh PKP dan darurat dikuatkuasakan, hantaran Presiden Jokowi mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri itu di Facebook turut sama dipenuhi dengan serangan terhadapnya.

Makna kata, selain Jokowi sendiri, rakyat Indonesia yang mengikuti laman Facebook Presiden Indonesia itu juga tahu sekarang ini bahawa Muhyiddin begitu ditolak dan bukan pemimpin yang disenangi oleh rakyat Malaysia.

Tak malukah Muhyiddin dengan semua ini?

Rentetan itu, andai kata selepas ini Muhyiddin melawat mana-mana negara lain, jika ketua negara yang dilawatinya itu turut memuatkan hantaran mengenai lawatan tersebut, pastilah ia juga bakal dipenuhi komen-komen berbentuk serangan yang sama.

Pokoknya ke mana Muhyiddin pergi dan apa saja dilakukannya sekarang ini, semuanya adalah salah di mata rakyat dan menjadi kebencian belaka.

Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini menerima penolakan yang begini ketara hanya dalam tempoh yang singkat iaitu tidak sampai setahun memegang jawatan Perdana Menteri.

Benci rakyat kepada Najib Razak sehingga beliau ditolak jatuh pun tidak seteruk seperti sekarang ini.

Dalam hal ini, tidak perlu didetailkan satu persatu lagi mengapa kebencian dan penolakan rakyat itu, bukan saja cepat meningkat, malah kian membesar hari demi hari.

Semua orang sudah maklum mengenainya, malah Muhyiddin sendiri pasti tahu tentang sebab-sebab penolakan dan kebencian terhadap dirinya itu.

Melihat perkembangan yang ada sekarang, ternampak tidak mungkin lagi benci boleh bertukar menjadi sayang, benci akan terus bertambah benci.

Benci dan rakyat menolak Muhyiddin ketika ini hanya mahukan beliau segera berundur atau meletakkan jawatan.

Kebencian yang ada kini sudah cukup merata sehingga pimpinan parti yang bersama kerajaan sendiri pun tidak henti-henti mengkritik dan membalunnya.

Rakyat pelbagai kategori jangan cerita lagilah bagaimana penolakannya, di merata-rata dan di majoriti dinding media sosial yang berbicara tentang politik, semuanya menunjukkan petanda terang lagi nyata tidak menyokongnya.

Tidak cukup dengan itu, beberapa kajian atau dapatan oleh badan tertentu juga memperlihatkan hal yang sama iaitu Muhyiddin dan kerajaan PN sudah hilang popularnya.

Mendepani semua ini, walaupun kuasa yang terkumpul dalam tangan mungkin mampu melindunginya untuk terus bertahan, berundur dan meletak jawatan adalah pilihan terbaik untuk Abah lakukan.

Melontar janji mengadakan PRU sebaik Covid19 reda bukanlah ubatnya, tambahan lagi menyerahkan nasib kepada pengundi yang sedang marah dan hatinya tengah membara boleh jadi hanya mengundang petaka buat Muhyiddin akhirnya.

Tidakkah jika PN dan Bersatu tidak mampu mengekalkan kuasa nanti, ia lebih memberi malu lagi?

Dengan itu, sesuai dengan majoritinya telah tiada berikutan beberapa Ahli Parlimen sudah menarik sokongan, disertai dengan penolakan dan kebencian rakyat yang makin membesar hari demi hari, berundur dan meletak jawatan bukan saja pilihan terbaik, bahkan hampir tidak dapat dielakkan jika Muhyiddin ada ada rasa tanggungjawab dan perasaan sayang kepada masa depan negara ini.

Negara ini akan hancur dan tak mampu dipulihkan lagi jika Abah terus berdegil ingin mendakap kuasa dengan lebih lama.

Selepas itu, serahkanlah kepada Agong membuat penentuan seterusnya, sesuai dengan Anwar Ibrahim sendiri sudah pun mengutus surat kepada Istana Negara berhubung majoriti yang dimilikinya berserta pihak yang didakwa menyokongnya.


 (Shahbudindotcom 06/02/2021)