23 FEBRUARI : BADI LANGKAH SHERATON MASIH HIDUP




1. Badi sering diungkap untuk menjelaskan sesuatu keadaan seperti penyakit akibat dari berlaku perkara yang dianggap 'sial' (taboo) dalam sesebuah masyarakat. 


2. Badi atau kadang-kadang dipakai istilah 'terkena' akan menghantui hidup seseorang sehingga segala musibah akan diwajarkan sebab 'badi sial' tempoh hari yang berlaku. 


3. Badi politik negara hari ini ialah kerana Langkah Sheraton yang menghantui kerajaan PN hari ini. Mereka telah melakukan 'adat terlarang' (sial, taboo)dengan membudayakan pengkhianatan sebagai cara sah untuk menjadi kerajaan. 


4. Sebab itu 'badi sheraton' mengikuti mereka ke mana sahaja sehingga tak keruan tindak tanduk mereka, sumbang langkah pentadbiran mereka dan flip-flop keputusan yang dibuat. Badi paling besar kerajaan TSMY ialah hilang sokongan majoriti dan dihantui dengan mimpi ngeri angka 109. 


5. Buat sementara, jampi 'darurat' masih mujarab tapi rakan bersama 'tebuk atap' dah mula buat curang. Pandai buat kat orang, rasalah balik habuannya - 'what goes around comes around'. 


6. Hari ini 23 Feb setahun yang lalu bermulanya kerajaan atas pengkhianatan dan untuk kekal mereka sogok dengan kabinet yang besar dan ahli parlimen yang diberi jawatan GLC. Untuk meneruskan pengkhiantan, mereka ugut dengan sekat kebebasan bersuara. Untuk kekal, mereka gunakan covid menagih simpati. Motivasi mereka adalah didorong untuk kekalkan pengkhianatan bukan untuk selamatkan negara dari krisis pandemik.


7. Semua rakyat harus ingat tarikh ini kerana perjuangan #sembuhkannegara dan #pulihkandemokrasi tercetus dari hari pengkhianatan ini. Bukan nama kelompok yang harus kita bimbang tetapi budaya pengkhianatan itu yang mesti kita lawan habis-habisan supaya negara tidak lagi dipimpin oleh perancang politik yang menjadikan pembelotan dan khianat sebagai motivasinya! 


DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH

Ahli Parlimen Parit Buntar 


23 Feb 2021