Mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bukannya satu penderhakaan seperti didakwa bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa.
Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata sebaliknya langkah diambil berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada.
“Saya sokong (tindakan) presiden (Umno).Tak salah utus surat pada Agong. Utus surat pada Yang di-Pertuan Agong bukan satu penderhakaan seperti tuduhan Annuar.
“Masa dia (Annuar) muda, dia yang bantai institusi raja. Kita (Umno) jaga kedaulatan raja-raja.
“Kita bercakap (utus surat pada Agong) berdasarkan undang-undang (ordinan),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Semalam, Annuar menyifatkan surat Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan kepada ahli-ahli parlimen parti itu untuk menggesa Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang parlimen boleh ditafsirkan sebagai cubaan menderhaka terhadap Seri Paduka Baginda.
Ahli parlimen Ketereh itu berkata surat yang ditulis oleh ahli parlimen Pontian bertarikh 18 Januari itu satu usaha jelas bersekongkol dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan DAP yang sebelum ini meminta perkara sama dilakukan oleh ahli parlimen.
Annuar yang memuat naik surat yang ditulis kepada Ahmad di Twitter turut mendakwa tindakan berkenaan tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh parti.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said turut menolak surat Ahmad.
Tajuddin berkata, ahli dan pemimpin Umno perlu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Ahmad Zahid Hamidi dalam membuat keputusan.
“Kena ada kepercayaan pada presiden mesyuarat (Majlis Tertinggi) sebulan sekali, tapi isu politik tiap-tiap hari ada.
“Kepercayaan kepada presiden, kena ada.
“PAS dia wala. Ada mereka kutuk presiden mereka,” soal Tajuddin.