Umno ‘ugut’ PN tarik sokongan jika tak segera PRU15

 

Umno ‘ugut’ PN tarik sokongan jika tak segera PRU15

Ahli Parlimen UMNO dicadangkan supaya menarik diri daripada terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dilaksanakan dalam tempoh suku tahun pertama tahun ini.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata demikian bagi mewakili 12 UMNO bahagian di negeri ini yang membuat usul tersebut sepanjang dua hari mesyuarat diadakan serentak di seluruh kawasan di Kelantan.

Menurutnya, cadangan itu bagi memberi kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan untuk menentukan mereka yang lebih layak mengemudi kerajaan.

“Kalau pihak kerajaan atau gabungan yang memerintah negara ketika ini tidak dapat ikut apa yang diminta akar umbi UMNO di kelantan ini, maka pilihan yang terpaksa saya buat ialah sebagaimana yang terkandung dalam usul, termasuk saya terpaksa menarik diri daripada menyokong kerajaan ketika ini.

“Bagi saya, saya lahir sebagai pemimpin UMNO dan dicipta oleh UMNO. Saya berada di sini sebab UMNO dan bertanding atas tiket UMNO. Saya tidak boleh meminggirkan suara akar umbi dan parti. Itu tanggungjawab saya.

“Seeloknya bubar Parlimen dan bawa menghadap Yang di-pertuan Agong. Sama ada (Seri Paduka Baginda) setuju atau tidak, tidak mengapa,” katanya ketika perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2020 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, Machang pada Ahad.

Jazlan berkata, pihaknya memberikan tempoh sehingga akhir bulan ini sama ada Parlimen akan dibubarkan atau tindakan lanjut menyusul.

Menurutnya, beliau tidak takut kehilangan semua jawatan yang digalas ketika ini.

Katanya, beliau meletak maruah diri dan parti lebih utama, sekali gus menganggap jawatan dalam kerajaan bukanlah satu ganjaran baginya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, 12 UMNO bahagian di negeri ini turut mencadangkan agar hubungan dengan Pas dikaji semula ekoran parti itu didakwa lebih mengutamakan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, mereka semua berpendapat Pas sepatutnya lebih mengutamakan MN.

“Saya mesti akur dan dengar suara akar umbi. Inilah perikatan asalnya. Kenapa kita mahu melupakan semua itu dan ambil yang baharu,” soalnya.