Walaupun setelah Zahid Hamidi baru-baru ini memberi jaminan bahawa pemilihan UMNO akan tetap diadakan pada tahun ini sebagaimana dijadualkan, mengapa masih ada yang mendesaknya agar berundur?
Mengapa mereka tidak mahu menunggu pemilihan UMNO yang dijangka pada bulan Jun atau Julai untuk menjatuhkan beliau?
Adakah mereka yang mengidam jawatan Presiden UMNO masih ada rasa takut untuk berlawan dalam demokrasi terbuka dengannya?
Selepas beberapa Ketua Pemuda UMNO Bahagian membuat desakan secara terbuka agar Zahid Hamidi berundur sebagai Presiden UMNO, hari ini Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman tampil membuat gesaan yang sama.
Bekas Adun Lepar itu berkata, Zahid Hamidi wajar melepaskan jawatannya itu demi bangsa Melayu, UMNO dan kesetiaan serta kegigihan 3.6 juta ahli yang menganggotai parti tersebut.
Tegasnya lagi, pengunduran itu perlu memandangkan kemelut dalam kepimpinan tertinggi UMNO terus berlarutan tanpa sebarang penyelesaian.
Kata beliau, tindak-tanduk sebahagian Ahli MKT dan Ahli Parlimen yang tidak terarah juga mendedahkan UMNO kepada kehilangan keyakinan orang Melayu yang sangat diperlukan bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Maka itu, tambahnya, Zahid Hamidi wajar melepaskan tanggungjawabnya sebagai Presiden UMNO.
Sepatutnya, setelah Zahid Hamidi memberi jaminan pemilihan UMNO 2021 tidak akan ditangguhkan, tiada sesiapa lagi perlu tampil mendesaknya untuk berundur.
Sebaliknya, mereka mesti mula membuat persiapan untuk berlawan dan mengalahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu daripada menerajui UMNO jika benar ingin menyingkirkannya.
Ini kerana, dengan Zahid Hamidi telah memberi jaminan bahawa pemilihan UMNO tidak akan ditangguhkan, ia bermakna beliau akan tetap mempertahankan jawatannya dan sedia berlawan dengan sesiapa saja yang berhajat untuk mengenepikannya.
Meski berdepan kes mahkamah, selagi belum dijatuhkan hukuman bersalah, Zahid Hamidi masih lagi berhak mempertahankan jawatannya.
Dalam waktu yang sama, oleh kerana pemilihan UMNO dijangka hanya beberapa bulan saja lagi iaitu sama ada Jun atau Julai akan datang, di samping wabak Covid19 pada ketika itu boleh jadi sudah mereda dan ramai pula yang telah menerima suntikan vaksin, calon-calon yang ingin bertanding jawatan Presiden UMNO seharusnya sudah pun mula menampilkan diri mereka mulai sekarang.
Siapakah yang berhajat nak berlawan dengan Zahid Hamidi itu?
Adakah Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO sekarang?
Adakah Khairy Jamaluddin mahu mencuba sekali lagi setelah kecundang dalam pemilihan 2018 lalu?
Mungkinkah Hishammuddin Hussein pula akan mencuba nasib kali ini?
Apakah Annuar Musa yang lantang mengkritik Zahid Hamidi sejak kebelakangan ini dan merupakan pemimpin UMNO paling pro Bersatu akan turut mencuba nasib menjadi Presiden UMNO agar Muhyiddin Yassin lebih mendapat laluan mudah kekal lagi sebagai Perdana Menteri?
Atau mungkinkan kluster menteri akan bergabung sesama sendiri untuk membentuk satu pasukan yang akan berlawan dengan Zahid Hamidi yang akhirnya berpadu tenaga dengan Mohamad Hasan, lantaran kedua-duanya tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan?
Jika itu yang berlaku nanti, apakah pemilihan UMNO kali ini akan menyaksikan pertembungan antara dua kelompok – no Bersatu dengan pro Bersatu?
(Shahbudindotcom 22/01/2021)