Baik secara langsung atau tidak langsung, tindakan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan mengutus surat kepada semua Ahli Parlimen parti itu untuk meminta persetujuan mereka bagi menggesa Yang Dipertuan Agong memanggil sidang khas Parlimen adalah tanda penolakan UMNO terhadap perisytiharan darurat.
Oleh kerana Ahmad Maslan adalah Setiausaha Agung yang tertakluk kepada arahan Presiden UMNO dalam bidang tugasnya, sudah tentu surat yang dihantarnya itu adalah atas arahan Ahmad Zahid Hamidi.
Tidak mungkin Ahmad Maslan berani menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen UMNO dalam isu darurat ini semata-mata atas pertimbangan dirinya sendiri tanpa dipersetujui atau merujuk kepada Zahid Hamidi.
Dengan itu, bolehlah disimpulkan surat kepada Ahli Parlimen yang diutus Ahmad Maslan itu adalah permintaan rasmi daripada UMNO melalui keputusan yang dibuat atau dipersetujui oleh Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.
Dalam erti kata lain, pendirian UMNO dalam isu darurat ini adalah senada dengan Ahli Parlimen blok pembangkang yang turut tidak setuju dengan perlaksanaannya yang dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos depan.
Bagaimanapun, haruslah difahami bahawa penolakan itu bukan bererti UMNO menolak proklamasi darurat oleh Agong, tetapi cuma menolak nasihat yang diberikan oleh Muhyiddin Yassin dan kerajaan kepada Agong tentang keperluan darurat itu dilaksanakan.
Sebab itulah, persetujuan diminta daripada Ahli-Ahli Parlimen UMNO untuk menggesa Agong memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan berkenaan darurat tersebut.
Barangkali, sama seperti blok pembangkang, UMNO juga berpendapat, perlaksanaan PKP yang kini dikuatkuasakan ke seluruh negara, kecuali Sarawak, sudah memadai untuk mengawal dan membendung Covid19 tanpa keperluan kepada darurat diisytiharkan.
Darurat diusulkan cadangannya kepada Agong setelah Muhyiddin semakin ditolak dan kian hilang sokongan Ahli-Ahli Parlimen dianggap lebih bersifat politik berbanding untuk mengawal Covid19.
Wujudnya surat Ahmad Maslan kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu didedahkan oleh Annuar Musa melalui media sosialnya hari ini sambil menyatakan bahawa beliau tidak setuju dengan permintaan tersebut serta menganggapnya sebagai penderhakaan kepada Agong.
Bekas Setiausaha Agung BN yang dipecat itu turut “menyekolahkan” Ahmad dalam jawapan panjang lebarnya berkaitan darurat dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Speaker Parlimen, Azalina Othman Said turut menolak surat Ahmad Maslan yang menggesa perlunya diadakan sidang khas Parlimen membincangkan isu darurat itu.
Beranggapan bahawa kebarangkalian untuk Agong memanggil sidang khas Parlimen atau membatalkan proklamasi darurat adalah sangat tipis, Azalina berkata, beliau menolak dan tidak bersetuju dengan permintaan yang dipohon oleh Ahmad itu.
Setakat ini, hanya dua Ahli Parlimen berkenaan saja yang menolak surat Ahmad Maslan itu, manakala yang lain-lain belum kedengaran lagi respon mereka.
Apa yang nyata, sebagai rakan kongsi dalam kerajaan PN, walaupun diberi banyak ketidakadilan, tekanan serta pembulian, UMNO ketika ini jelas semakin tidak senada serta berbeza dengan pendirian kerajaan.
Menggesa sidang khas Parlimen ini dilihat langkah susulan UMNO selepas majoriti bahagian-bahagian sebelum ini sepakat meluluskan usul memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.
Kata putus berhubung usul tersebut dijangka dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO, 31 Januari ini, tetapi ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan PKP dan darurat yang sedang dikuatkuasakan.
Lantaran semakin jelas berbeza pendirian dengan kerajaan dan Muhyiddin, apa sebenarnya yang membuatkan UMNO masih tercongok lagi berada dalam kerajaan?
Kenapa tidak terus keluar saja dan jatuhkan Muhyiddin dengan segera?
UMNO mahu tunggu apa lagi? (Shahbudindotcom 19/01/2021)