SEGILA-GILA TRUMP PUN TAK ISYTIHAR DARURAT UNTUK KEKAL BERKUASA….

 

Banyak yang dapat kita pelajari dalam isu peralihan kuasa dari Presiden Donald Trump (Republikan) kepada Presiden Joe Biden (Demokrat) di Amerika Syarikat.

2. Pertama, apabila Trump rasa dia telah kalah, dia tidak isytihat Darurat seluruh Amerika. Dia tidak buat apa yang pemimpin sesetengah republik pisang di Afrika lakukan.

3. Trump yang kelihatan gila-gila itu masih bertindak ikut rule of law. Istilah Rukunegara kita ialah kedaulatan undang-undang. Donald Trump masih menghormati Badan Kehakiman negaranya.Dia cabar keputusan pilihanraya di sesetengah negeri dalam Amerika Syarikat itu di mahkamah undang-undang.

4. Apabila Mahkamah di Amerika Syarikat tolak petisyen Trump yang mencabar keputusan pilihanraya itu, Trump yang berperangai kadang-kadang seperti gedebeh tidak mengisytihar Darurat di seluruh Amerika. Dia tidak menggantung Parlimen Amerika yang terdiri dari dua buah Dewan iaitu Dewan Senate (Dewan Negara) dan Dewan Perwakilan (Dewan Rakyat). Trump tidak lakukan seperti sesetengah pemimpin negara republik pisang di Afrika lakukan apabila kerajaannya hilang majoriti di parlimen dengan mengisytiharkan Darurat dan menggantung Parlimen.

5.Di Amerika Syarikat yang kompleks dan beranika ragam itu, yang kadang-kadang demokrasinya banyak kecacatan; banyak hipokrasi dan double standard, tidak sempurna atau perfect, tetapi ada sesuatu yang ahli undang-undang dan pemikir silam dunia bernama Montisque yang memperkenal doktrin pemisahan kuasa (separation of powers) akan bersetuju, iaitu di dalam hiruk pikuk gelagat membabi buta si Trump itu, prinsip pengasingan kuasa tiga cabang utama kerajaan- Eksekutif, Judiciary (Kehakiman) dan Legislatif (Parlimen) kelihatan terpelihara.

6.Hal seperti di Amerika Syarikat itu tidak berlaku di sesetengah negara republik pisang di Afrika yang apabila kuasanya terancam sedikit, lantas mengisytiharkan Eksekutif berkuasa penuh, Parlimen digantung dan Kehakiman dibenar berfungsi tetapi kuasanya dikasi dengan mengeluarkan dikri Emergency Ordinance yang memansuhkan kuasa Judicial Review atau Semakan Kehakiman mahkamah-mahkamah.

7. Di republik Coca-Cola dan Pepsi Cola Amerika Syarikat itu yang lebih baik sedikit dari negara republik pisang di Afrika, kita bisa melihat ramai hakim-hakim mahkamah agungnya dilantik oleh Trump sepanjang empat tahun dia menjadi Presiden.Hakim-hakim ini ketika membuat keputusan penghakimannya nampaknya mereka berdasarkan kepada fakta dan undang-undang yang sedia ada.Kerana itu petisyen cabaran Trump ke atas keputusan pilihanraya yang tidak memihak kepadanya, satu demi satu ditolak oleh mahkamah-mahkamah agung di beberapa negeri itu. Tidak pula hakim-hakim itu mengikut telunjuk Trump dan menggunapakai maxim: ada ubi; ada batas; ada budi; adalah…yang akan dibalas.Atau maxim yang lebih teruk dipakai di sesetengah negara republik pisang yang korup di Afrika: Engaku tolong aku; aku tolong engkau.

8. Trump yang berlagak Cowboy dalam filem klasik tv hitam putih-Wild Wild West nampaknya masih menghormati Perlembagaan Amerika Syarikat (jika ikut Rukunegara kita keluhuran perlembagaan). Apabila dia nampak Speaker Dewan Perwakilan AS seorang wanita yang bernama Nancy Pelopsi memanggil sidang khas Parlimen untuk memecatnya sebagai Presiden angkara dia dituduh menghasut penyokong-penyokongnya berhimpun, menggempur dan merusuh Bangunan Parlimen AS di Capitol Hill, Trump tidak pula bertindak macam sesetengah negara republik pisang di Afrika yang dalam keadaan sedemikian akan menjatuhkan Speaker parlimen yang ada dan menggantikan dengan Speaker baru orang lantikannya sendiri secara paksa -tanpa proses mengundi dan demokrasi.

9. Seburuk-buruk Trump yang suka main twitter sehingga akhirnya sebagai Presiden sebuah kuasa dunia akaun Twitter nya diharamkan,Trump tidak mengganggu Parlimen AS bersidang. Dia tidak campur tangan hal ehwal operasi Parlimen di negaranya itu (tidak ada jawatan Menteri di Jabatan Presiden bagi Undang-undang dan Parlimen di AS) walaupun dia tahu Dewan Rakyatnya (Dewan Perwakilan) akan memecatnya. Trump tidak buat seperti sesetengah negara republik pisang di Afrika yang akan menggantung Parlimen apabila satu demi satu ahli parlimen blok kerajaannya menarik diri dari menyokongnya.Ada beberapa orang ahli kabinet Trump yang letak jawatan tanda tidak percaya kepada Trump tetapi Trump tidak lekas panik untuk menekan Butang Darurat.Presiden AS ke-45 itu tidak cuba lari-lari dari Usul Tidak Percaya di Parlimen seperti di sesetengah negara republik pisang di Afrika.

10. Walaupun tarikh peralihan kuasa 20 Januari 2021 semakin hampir dan Pandemik Covid-19 di AS semakin memburuk dengan jumlah rakyatnya yang mati beratus ribu orang dan yang positif dijankiti Coronovirus mencapai jutaan angka statstik, Trump yang agak sewel kerana membantah memakai mask atau pelitup muka itu, masih ada masa menggalakkan para saintisnya menghasilkan vaksin secepat mungkin.Trump tidak lakukan apabila dia mulai tenggelam dan hilang kuasa seperti sesetengah pemimpin negara republik pisang di Afrika lakukan, iaitu menggunakan alasan pandemik Covid-19 untuk mengisytiharkan Darurat dan menggantung parlimen untuk membolehkan kerajaan pisang yang minoriti dan tiada majoriti itu terus berada di pucak kuasa.

11. Bandingkanlah apa yang berlaku di republik Coca-Cola dan Pepsi Cola di Benua Amerika yang ditemui Columbus itu dengan sesetengah negara pisang di Benua Afrika seperti Republik Zimbabwe di zaman Robert Mugabe. Kemudian perhatikan pula apa yang sedang berlaku di negara Musang King di Semenanjung Emas dan Bumi Kenyalang serta Gunung Kanabalu di seberang Laut Cina Selatan sekarang ini.

Satira Oleh Hassan Abdul Karim,Ahli Parlimen Pasir Gudang

Jumaat 22 Januari 2021