Saya berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang memberi
respon kepada pertanyaan berkaitan penularan surat bagi pembinaan dewan
bernilai lebih RM35 juta di Parlimen Pagoh.
Walaupun beliau menerangkan RM35 juta adalah untuk pembinaan 3
buah Dewan, ianya masih tidak menjawab isu keutamaan perbelanjaan kerajaan
ketika ini dan nilaian untuk pembinaan sebuah Dewan melebihi RM16 juta masih
terlalu tinggi.
Persoalannya:-
1. Sebagaimana YAB Perdana Menteri mengeluarkan arahan projek
ini perlu dilaksanakan dengan segera, bolehkah YAB membatalkan projek tersebut
dengan segera atau sekurang-kurangnya menangguhkan buat seketika?
2. Ini adalah kerana difahamkan sudah terdapat 4 buah Dewan
besar sedia ada dalam Parlimen Pagoh iaitu:-
i) Dewan Serbaguna Pagoh
ii) Dewan Kompleks Sukan Pagoh
iii) Dewan Seri Pekembar
iv) Dewan di Hub Universiti Pagoh
Sebagai rujukan, saya sertakan gambar-gambar di Facebook saya.
Ini tidak termasuk dewan-dewan masyarakat yang lain.
Bukankah dengan norma baru, sudah pasti penggunaan dewan awam
adalah terhad dan adakah 4 buah dewan utama ini dan dewan-dewan lain tidak
mencukupi untuk ketika ini?
3. Sepertimana YAB Perdana Menteri boleh menggantung Dewan
Parlimen melalui kaedah proklamasi Darurat, kononnya untuk melawat Covid19,
apalah salahnya projek pembinaan Dewan ini digantung juga?
4. Bolehkah kita tangguhkan pembinaan 3 buah Dewan ini agar dana
tersebut dapat digunakan bagi usaha melawan Covid19?
Bukankah lebih elok sekiranya kita salurkan dana tersebut supaya
ujian swab dapat diperluaskan, kapasiti pusat kuarantin dipertingkatkan serta
jentara frontliners diperkuatkan.
5. Bolehkah YAB Perdana Menteri terangkan makna tatacara
perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan?
Adakah ini tender terbuka atau tidak?
Berdasarkan isu kandungan surat yang tular, kerja-kerja di tapak
sepatutnya bermula pada 1 Mac 2021, tempoh 6 minggu untuk melaksanakan proses
tender terbuka dalam suasana PKP dan Darurat adalah agak mustahil.
Persoalan-persoalan netizens dan saya bangkitkan bukanlah
berniat jahat seperti mana tuduhan YAB Perdana Menteri, tetapi kami juga
mengambil sikap bertanggungjawab untuk menjaga dana rakyat.
Akhir sekali, memandangkan saya tidak boleh bertanya dalam
Parlimen, bolehkah YAB Perdana Menteri membatalkan projek ini serta-merta
supaya kita utamakan usaha negara melawan Covid19?
Terima kasih.
17 Januari 2021
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia