Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memberi amaran, segelintir rakyat berisiko hidup dalam kelaparan tanpa campur tangan segera kerajaan.
Beliau berkata, ketika ini ramai rakyat Malaysia kehilangan mata pencarian serta kuasa beli mereka berada pada tahap genting.
“Tanpa intervensi kerajaan, mereka bukan sahaja akan miskin tetapi juga hidup dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai cukup makanan,” kata beliau.
Katanya, bagi golongan rentan, pemberian “kupon” makanan dan barangan runcit boleh dipertimbangkan segera memandangkan negara maju juga sudah lama melaksanakan intervensi “food stamp” dan baucar barangan perlu.
Baucar sedemikian bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga yang paling terhimpit, malah ia juga dapat menjana pendapatan pemilik dan pengusaha kedai runcit, kata beliau.
“Bantuan tersebut secara langsung akan meningkatkan pengguna agregat dan membantu peniaga kecil, pengusaha pasar raya serta restoran,” tambah Mohamad.
Beliau juga menggesa Putrajaya supaya segera mengekang kenaikan berterusan harga barangan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam memerangi wabak Covid-19.
Walaupun bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan orang ramai, namun kebelakangan ini, rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga, terutamanya makanan mentah, katanya.
“Sesuatu mesti segera dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar memasti kecukupan bekalan, tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat,” kata beliau.
Kerajaan juga wajar menyokong dan memberi bantuan bagi menggalakan “pertanian bandar”.
“Penduduk Malaysia, terutamanya mereka yang menetap di bandar, boleh menerima pakai konsep ‘edible garden’ di kediaman mereka.
“Gunakan tanah lapang di persekitaran rumah untuk menanam sayur-sayuran, termasuk menanamnya dalam pasu,” katanya.
Katanya, penanaman sayur-sayuran di rumah mampu mengurangkan kos sara hidup seharian dan memudahkan akses kepada bekalan segar tanpa kebimbangan penyebaran Covid-19 di pasar raya.