PH SUDAH TOLAK DARURAT, TAK PERLU SETUJU SERTAI J/KUASA KHASNYA



Pendirian blok pembangkang secara prinsipnya adalah menolak darurat yang perlaksanaannya adalah atas nasihat Muhyiddin Yassin yang ditanggapi sudah hilang sokongan majoriti kepada Yang Dipertuan Agong.

Mesyuarat Majlis Presiden dalam kenyataannya dua hari lalu menyebut, mereka mengambil pendirian menolak rasional serta alasan-alasan yang telah diberikan Muhyiddin bahawa kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan negara daripada ancaman Covid19.

Majlis Presiden juga melihat perlaksanaan darurat yang turut menggantung Parlimen pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman boleh berjalan seperti biasa boleh menjejaskan proses semak dan imbang, merencatkan demokrasi serta menafikan suara rakyat, sekaligus memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk melakukan apa saja dengan sewenang-wenangnya.

Untuk itu, sesuai dengan pendirian tersebut, tidak ada keperluan sama sekali untuk pihak pembangkang menerima pelawaan kerajaan untuk menganggotai jawatankuasa khas mengenai darurat.

Sebelum ini Anwar Ibrahim difahamkan telah menerima surat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan agar memberikan tiga nama bagi menganggotai jawatankuasa tersebut.

“Ya, Takiyuddin telah menghantar surat awal petang semalam kepada Anwar atas kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.

“Menteri telah meminta Anwar menyerahkan tiga calon untuk mewakili pembangkang mewakili jawatankuasa bebas itu,” kata satu sumber.

 

Sementara itu, DAP pula mahu melihat perincian mengenai jawatankuasa tersebut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP,  Anthony Loke berkata, partinya tidak dapat memberikan komitmen untuk menyertai jawatankuasa itu tanpa terlebih dahulu mengetahui perincian dan bidang kuasa jawatankuasa berkenaan.

“Kami perlu dapatkan perincian terlebih dahulu, termasuklah tujuan dan bidang kuasa jawatankuasa itu.

“Tanpa perincian, kami tak dapat beri komitmen kami,” kata Ahli Parlimen Seremban itu lagi.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, menggesa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang tidak menyertai jawatankuasa khas bebas yang akan ditubuhkan berhubung pelaksanaan darurat.

Beliau berkata, pembangkang perlu menolak untuk menyertai jawatankuasa itu kerana proklomasi darurat telah diumumkan oleh seorang Perdana Menteri dan kerajaan yang sudah hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Katanya, jika pembangkang setuju menyertai jawatankuasa itu, ia bermakna mereka memperakui keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Sesungguhnya, apa yang dihujahkan oleh Mahfuz ini amat tepat dan wajar dijadikan pendirian bersama yang kekal oleh blok pembangkang.

Tidak perlu mana-mana pihak cuba bersikap lunak atau berlembut untuk menganggotai jawatankuasa darurat itu.

Selain itu, dengan sudah menolak perlaksanaan darurat dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, bersetuju menganggotai jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan bererti pembangkang telah mencabuli ketetapan sendiri.

PH dan blok pembangkang sebaliknya mesti kekal dengan pendirian terus berjuang menolak darurat sehingga ia dibatalkan kerana rakyat sendiri ternampak tidak gembira dengannya. 

(Shahbudindotcom 14/01/2021)