Persatuan pengusaha restoran minta kerajaan benarkan pelanggan makan berdua semeja

 


Persatuan pengusaha restoran minta kerajaan benarkan pelanggan makan berdua semeja


Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan untuk membenarkan pelanggan makan di kedai dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk dua orang satu meja.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, dengan kebenaran tersebut, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban peniaga yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Peniaga kini mempunyai banyak beban seperti membayar gaji pekerja, sewa premis dan pelbagai bil utiliti.

“Saya rasa ramai pelanggan yang ingin makan di kedai kerana lebih mudah dan selesa. Kita rayu dapat dibenarkan SOP satu meja untuk dua orang.

“Pelanggan sekarang pun hanya mahu makan, bukan untuk melepak,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Jelasnya, ramai orang terutama golongan pekerja mengeluh terpaksa makan di pejabat dan tepi jalan sebab tidak dibenarkan makan di kedai.

“Saya sedih apabila lihat ada antara golongan pekerja yang penat bekerja sebagai contoh penghantar makanan terpaksa duduk di kaki lima, tepi jalan dan ada juga yang duduk di atas motosikal untuk menjamu selera.

“Mereka sepatutnya disediakan tempat makan yang selesa setelah penat bekerja,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memohon agar kerajaan mempertimbangkan lanjutan moratorium tanpa syarat kepada golongan peniaga untuk menampung pendapatan perniagaan yang terjejas sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.