Percepat program vaksinasi, beli dari pelbagai sumber
Program vaksinasi Covid 19 yang dijangka mengambil masa selama setahun perlu dipercepatkan dengan membeli vaksin dari pelbagai sumber.
Mantan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye berkata, tempoh setahun atau lebih mungkin agak panjang sekiranya Malaysia mengutamakan bekalan vaksin dari syarikat Pfizer.
Sedangkan, katanya ada banyak pengeluar vaksin Covid yang belum dinilai oleh Malaysia sama ada sesuai untuk digunakan dan dibeli.
Selain itu, kata Dr Lee, timbul isu vaksin Pfizer tidak sesuai diberikan kepada kanak-kanak dan Melaysia perlu mendapatkan dari sumber yang lain.
“Kita menggunakan vaksin daripada Pfizer dan mereka tak buat vaksin untuk yang berumur 16 tahun ke bawah, jadi bagaimana kita nak tahu sama ada vaksin itu berkesan atau tidak untuk kanak-kanak?
“Saya rasa kalau kita bergantung kepada satu sahaja memang tidak mencukupi, jadi perlu kaji sama ada vaksin daripada tempat lain sama ada daripada China, India, UK, Rusia sekalipun, kita mesti buat kajian untuk dapatkan vaksin dari sumber yang berlainan.
“Pfizer juga sediakan vaksin kepada Amerika dan Eropah yang masih tak dapat vaksin mencukupi. Pasti Malaysia juga tak dapat untuk semua rakyat kalau bergantung pada Pfizer,” kata Dr Lee yang mengharapkan pihak berkuasa kesihatan segera menjalan ujian terhadap vaksin-vaksin keluaran syarikat lain.
Berkenaan elaun RM500 yang diperuntukkan oleh kerajaan Perikatan Nasional kepada barisan hadapan baru-baru ini, Dr Lee berkata, jumlah tersebut kecil berbanding keringat dan pengorbanan petugas tersebut.
“Saya rasa RM500 ini jumlah yang kecil. Namun apa paling penting tanggungjawab kerajaan yang pertama adalah memastikan jumlah kes baru tidak terus meningkat. Kerajaan perlu ada kaedah yang lebih pintar uruskan kes baharu dan saya rasa kes baharu atau mereka yang disyaki ada Covid diasingkan (secara mandatori) di tempat tertentu.
“Jangan asingkan di rumah kerana jangkitan akan berlaku kepada anggota keluarga lain dan kes meningkat. Akhirnya sistem kesihatan tidak mampu untuk menampung.
“Selain itu, dari aspek kebajikan barisan hadapan contohnya PPE harus mencukupi, kita masih dengar bukan sahaja di hospital, di balai polis pelitup muka pun tidak cukup dan ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya lagi.