Penjajaran politik tidak korbankan prinsip – Saifuddin


PKR has become stronger since Azmin's departure, says Saifuddin Nasution


Penjajaran semula politik yang banyak diperkatakan kebelakangan ini difahami dengan pelbagai istilah, termasuk mengubah hala tuju dan prinsip perjuangan yang didukung sejak sekian lama.

Bagi Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penjaran semula politik yang diamalkan parti itu tidak akan dilakukan secara semberono dan mengetepikan nilai-nilai yang diperjuangkan selama ini demi perlu bersekutu menghadapi pilihan raya atau membentuk kerajaan.

“Kita melihat perjalanan politik negara ini, bila bercakap tentang pilihan raya sukar untuk kita jangkakan sebuah parti akan menguasai kerusi majoriti. Kerana itu kita perlu berkawan.

“Dalam proses berkawan itu kalau perlu berkawan dengan pihak yang dulunya menjadi lawan maka kita perlu melakukan perubahan itu.

“Jadi dalam konteks inilah penjajaran yang kita buat. Tetapi dalam konteks KEADILAN, maksud penjajaran baru ini kami istilahkan sebagai mestilah berteraskan landasan yang jelas.

“Kita boleh saja melakukan pengubahsuaian, tetapi ia harus bermula daripada prinsip dan asas yang jelas. Kalau kita ingin ambil dari sudut agama Islam, kita harus berpolitik secara beragama. Kita dilarang mempolitikkan agama,” katanya dalam forum Borak Dahsyat: Politik penjajaran baharu PRU 15, anjuran Studio Jalan Kapar, malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu lagi, penjajaran politik juga perlu bertitik tolak daripada pertanggungjawaban dan menolak politik bobrok menunggang kuasa untuk mengamalkan kronisme dan nepotisme.

“Penjajaran ini harus bertolak dari prinsip bertanggungjawab dan ada pertanggungjawaban. Itu prinsip yang jelas. Penjajaran juga bertolak dari prinsip kuasa itu satu amanah.

“Kuasa ini satu anugerah, boleh dijadikan satu tiket untuk mengaut kekayaan dan penyalahgunaan kuasa. Point saya adalah penjajaran baru dalam politik dari kacamata KEADILAN ialah bermula dari tapak atau prinsip yang jelas.

“Kalau prinsip jelas maka penjajaran itu tidak sampai mengorbankan prinsip. Saya fikir itu jauh lebih penting daripada penjajaran dilihat dengan siapa kita berkawan atau dengan siapa kita berlawan,” katanya lagi.

Dalam erti kata mudah, kata Saifuddin, penjajaran politik sekiranya berlaku dengan parti yang pernah dimusuhi wajib berteraskan prinsip memerangi rasuah, penyelewengan dan mengutamakan urustadbir yang baik.