Pelaburan merudum, pengangguran meningkat, kerajaan PN hilang hala tuju - Anwar

 


POSTED BY AMIR  WRLR


Kerajaan Perikatan Nasional tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam ekonomi sehingga menghilangkan keyakinan pelabur asing untuk menanam modal di negara ini.

Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan ekonomi dengan gambaran palsu pendapatan negara akan meningkat sebagamana diamalkan sekarang hanya akan menambahkan masalah dan bukannya mengukuhkan keyakinan pelabur luar negara.

"Kalau ikut pakar ekonomi Adam Smith, kita urus ekonomi negara macam urus ekonomi rumah tangga. Berapa pendapatan, berapa perbelanjaan, berapa hutang? Adakah hutang itu mampu ditanggung keluarga atau diwariskan kepada anak pinak cucu cicit, dibayar kemudian.

"Semua itu sama dalam kerangka pemikiran ekonomi negara. Sebab itu fakta tidak boleh mengelirukan. Kalau pendapatan RM3,000 sebulan tidak boleh kata RM5,000 kerana RM2,000 (yang kurang itu) mengelirukan dan merosak perancangan ekonomi

"Sebab itu saya katakan unjuran harus munasabah. Kita bukan sengaja untuk menyanggah Menteri yang masih menekankan pertumbuhan ekonomi 6%. Bagilah hujah apa pun dia masih kekal yang itu juga. Kemudan pendapatan negara akan lebih daripada 2019. Cuba tengok sekarang adakah munasabah?" tanyanya dalam siri siaran langsung di Facebook malam tadi..



Anwar membentangkan data daripada badan ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang jelas menunjukkan ekonomi Malaysia kehilangan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang besar pada 2020



Katanya, hilang keyakinan itu mempunyai kaitan dengan dasar negara serta keyakinan kepada kerajaan PN.



"Menurut UNTAD, semua pelaburan ke negara ASEAN merosot, kerajaan kata kita pun merosot.



"Cuma Menteri Kewangan kata pertumbuhan ekonomi boleh meningkat walau pelaburan merosot. Singapura turun 37%, Indonesia 24%, Vietnam 10%. Tetapi Filipina naik 29%, kita patut lihat soal tatakelola negara, soal kejayaan mereka menarik pelaburan.



"Malaysia merosot dalam kadar yang paling teruk dalam 2020, iaitu 68%," katanya

Mantan Menteri Kewangan terbaik Asia itu mengimbau saat beliau berada dalam kerajaan pada 1990an ketika Malaysia pernah menjadi negara nombor satu menerima FDI di ASEAN.

Namun katanya, selepas dua dekad Malaysia kalah dan menjadi yang terburuk.

"Apa alasan. Covid 19, Indonesia, Filipina tak ada Covid kah? jadi bermakna cara menangani ekonomi ini sangat lemah, tiada hala tuju yang jelas.

"Tidak ada kepimpinan yang berwibawa untuk menarik keyakinan pelabur dalam dan luar negara.

"Indonesia tiada darurat pelaburan sedikit merosot, Filipna tiada darurat pelaburan meningkat.

"Kalau tak ada pelaburan ekonomi tak rancak, pengangguran akan bertambah. Bila tiada kegiatan ekonomi maka restoran, hotel, pengangkutan semuanya akan berkurangan.

"Kalau kecil kita boleh faham tetapi 68% itu menunjukkan kelemahan kerajaan yang ada," katanya.

Oleh itu, Anwar bertanya apakah strategi ekonomi PN untuk menghadapi kekurangan pelaburan tersebut.

Malangnya, kata Ahli Parlimen Port Dickson tersebut kerajaan bermula dengan sindrom penafian, mengatakan ekonomi Malaysia masih kukuh

"Apa strategi ekonomi? Mereka menggambarkan kenyataan yang baik-baik. Kalau kita bermula dengan kenyataan palsu strategi akan terkesan. Apa salah kita kata "Ya kita tak berjaya tarik pelaburan, kita akan buat langkah baru untuk tarik pelabur baik secara perundangan, kecekapan, tatakelola, perangi rasuah, tetapi mereka guna cara pintas, isytihar darurat.

"Pada hemat saya ini akan menyebabkan merudumnya lagi ekonomi negara," katanya.

Mengenai usaha menutup kilang bagi menangani Covid, Anwar tidak bersetuju. Sebaliknya beliau menyarankan agar ujian Covid kepada seluruh pekerja sektor industri dilakukan

"Buat ujian kepada semua pekerja. Kalau clear jalan terus kegiatan. Kalau tidak baru kita tutup. Kalau kilang ditutup pengangguran bertambah.

"Kita tak mahu sakit dan membebankan keluarga tetapi kita juga tidak mahu hidup hanya minta sedekah. Ataupun sekadar mendapat subsidi kerajaan. Harus ada keseimbangan, penting jaga kesihatan dan juga jaga kehidupan," katanya lagi.

Justeri Anwar menyeru agar menteri yang gah menunjukkan kuasa memberi amaran dan mengurung rakyat supaya berani berhadapan dengan tokey-tokey kilang mengarahkan mereka membelanjakan sedikit peruntukan bagi menampung ujian Covid berskala besar kepada para pekerja sektor industri.