PAS SELEWENG FAKTA MENGENAI PSR, SEMAI KEBENCIAN TERHADAP KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

 


Berikut merupakan kenyataan balas Farid Maulud, Ketua DAPSY Bukit Bendera terhadap fitnah yang dilemparkan oleh PAS mengenai PTMP dan PSR.

Oleh Farid Maulud

Sukar hendak digambarkan apabila Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff sanggup menipu dan memutar belitkan fakta demi kepentingan politik. Apalah yang ada dalam fikirannya kalau 24 jam asyik menyerang tanpa fakta dalam kenyataannya yang dikeluarkan oleh Harakahdaily pada 27 Januari 2021 mengenai projek PTMP dan PSR. Segala fakta yang ditulis adalah tidak tepat dan diseleweng mengenai pelan induk yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi kehidupan rakyat yang lebih baik di masa hadapan.

Sebenarnya sejak awal rancangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) tidak lain tidak bukan adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin mencabar ekoran kepadatan penduduk di Pulau Pinang yang semakin meninggi saban hari. Sebagai sebuah kerajaan yang telah diberikan mandat oleh rakyat maka pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertanggungjawab untuk merangka pelan pengangkutan yang dijangka bakal mengurangkan isu kesesakan lalu lintas yang telah menyiksa rakyat Pulau Pinang sejak dahulu lagi disamping membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang.

Menurut laporan Halcrow dalam kajian Pelan Induk bagi Pengangkutan dan Pengurusan Lalu Lintas Pulau Pinang pada muka surat 76, kos sebenar yang dicatatkan adalah sebanyak RM27 bilion dan bukannya RM10 bilion seperti yang dipesongkan oleh Pesuruhjaya PAS itu.

Walaupun Halcrow mencatatkan bahawa kos projek PTMP sebanyak RM27 bilion, namun sebenarnya angka tersebut belum lagi merangkumi pertambahan untuk pembangunan sistem pengangkutan awam di Seberang Perai yang merangkumi monorel, Bus Rapid Transit (BRT) dan Rel Transit Ringan (LRT). Kos sebenar merangkumi keseluruhan projek PTMP ialah sebanyak RM46 bilion.

Tambahan pula, laporan Halcrow tidak mengandungi financing model, iaitu pelan untuk menjana peruntukkan yang cukup bagi membiayai PTMP, memandangkan pihak kerajaan persekutuan tidak akan membiayai pembangunan tersebut maka itulah salah satu sebab keperluan projek Penang South Reclamation (PSR), iaitu untuk mendanai sistem pengangkutan awam yang baik untuk rakyat. Sikap Muhammad Fauzi Yusoff salin tak tumpah seperti akal labah-labah, di gua buruk suka merakut.

Pesuruhjaya PAS tersebut juga mendakwa, “Kehilangan tapak rayau nelayan cari makan (macam) pasir menimbus dalam periuk nasi setelah penat bertempikan. Hanya pasrah diberi untuk korban sebuah pembangunan. Mana kerajaan?”.

Sebenarnya kerajaan ada, malah pembangunan 3 buah pulau buatan PSR, selain mendanai PTMP, adalah demi masa depan yang lebih baik kepada komuniti nelayan. Kawasan tambakan yang telah dirancang juga telah diperakui oleh konsultan profesional bahawa kawasan tersebut memang kurang aktiviti penangkapan ikan.

Nelayan tidak akan terjejas ekoran pembinaan projek PSR. Malah, apabila projek tambakan ini bermula para nelayan masih boleh keluar menangkap ikan.  Pembangunan PSR akan menyediakan laluan air dan jeti baharu bakal dibina kepada para nelayan yang mana ini juga merupakan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menggalakkan aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan setempat terus berjalan. Kerajaan Negeri tidak akan sesekali menimbus pasir didalam periuk para nelayan malah Kerajaan Negeri menyediakan juadah lauk sampingan agar para nelayan terus mampu mencari punca rezeki.

Saya harap Pesuruhjaya PAS, Muhammad Fauzi Yusoff insaf atas tindakan menyeleweng fakta dan kebenaran dari rakyat Malaysia yang membaca. Sudah-sudahlah bermain politik demi kepentingan peribadi. Hentikanlah usaha menyuntik cecair kebencian dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Jika PAS tidak mampu untuk merangka pelan pembangunan demi memajukan negeri Kelantan jangan pula bersikap seperti ayam senang dalam reban, musang yang susah beredar keliling.

Farid Maulud

Ketua DAPSY Bahagian

Bukit Bendera